Penunggang basikal maut dirempuh kereta

Iklan
Keadaan basikal ditunggangi mangsa yang maut dalam nahas membabitkan sebuah kereta di Jalan Sultan Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng, pada Sabtu. - Foto ihsan pembaca

IPOH - Seorang penunggang basikal maut selepas dirempuh sebuah kereta dari belakang di Jalan Sultan Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 10.16 malam itu, Luqman Hakim Mohamed Amin, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, ketika kejadian mangsa sedang berbasikal di sepanjang laluan itu sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dalam perjalanan dari arah Jalan Simpang Pulai menghala ke Ipoh.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia 40 tahun itu meneruskan perjalanan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau.

Keadaan kereta yang terbabit kemalangan hingga mengorbankan seorang penunggang basikal di Jalan Sultan Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng, pada Sabtu. - Foto ihsan pembaca

Iklan

"Bagaimanapun mangsa dari simpang sebelah kanan melintas secara tiba-tiba di hadapan laluan kereta itu.

"Pemandu kereta terbabit cuba mengelak ke kiri jalan, namun terkena basikal ditunggangi mangsa menyebabkan mangsa terjatuh atas jalan," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Kejadian tersebut katanya, turut mengakibatkan palang basikal mangsa patah sementara cermin depan kereta terbabit pecah dan kemek di bahagian hadapan.

"Mayat telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.