PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu usaha mencantikkan landskap di sekeliling rumah, kampung dan bandar menjadi budaya dan minat masyarakat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara taman yang indah.
Katanya Malaysia dikurniakan dengan cuaca dan tanah yang subur yang memudahkan usaha penanaman pelbagai tanaman dan bunga-bungaan dan kelebihan itu seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk mencantikkan landskap negara.
Dr Mahathir berkata perancangan bandar juga perlu dibuat secara tersusun dengan mengambil kira susun atur bangunan yang sama jenis dan pemilihan pohon-pohon yang sesuai bagi mencantikkan landskap dan taman.
"Ada kesannya jika sesuatu kawasan tertentu dibiarkan lapang, supaya kita dapat menanam pokok dan tidak ditinggalkan begitu sahaja
"Selain itu, beri tumpuan kepada kecantikan pohon yang ditanam di sepanjang jalan dan buat tempat untuk penduduk berehat di hujung minggu, berkelah dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Landskap Negara 2019 di Taman Botani Putrajaya, di sini hari ini.
Beliau berkata pokok-pokok di Putrajaya tumbuh dengan cepat sehingga mencecah diameter pokok satu setengah kaki dalam masa tidak sampai 20 tahun.
Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menegur kegiatan melukis grafiti pada dinding bangunan dengan perkataan-perkataan yang tidak mempunyai makna yang disifatkannya sebagai memburukkan pemandangan.
"Jika anda hendak lukis dinding dengan elok dan cantik sebagai latar belakang jalan, ini bagus. Anda boleh juga gambar sebenar.
"Saya tiada halangan gambar saya dilukis pada dinding sebuah bangunan di Alor Setar... Yang itu ok, tetapi bila mereka mula menconteng, itu tak elok," katanya.
Pada majlis yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad itu, Dr Mahathir turut menyampaikan beberapa anugerah berbentuk geran kepada komuniti, pemaju dan pihak berkuasa tempatan yang berjaya merancang dan melaksanakan pengurusan landskap yang komprehensif.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menerima anugerah utama di bawah Inisiatif Negara Taman melibatkan geran bernilai RM1 juta, manakala Perbadanan Putrajaya dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri masing-masing menerima geran bernilai RM500,000 dan RM300,000.
Hari Landskap Negara mula disambut pada tahun 1998 pada setiap 3 Mac bertujuan menggerakkan budaya kecintaan terhadap landskap dalam kalangan rakyat selaras dengan Teras 1 Dasar Landskap Negara iaitu Membudayakan Kecintaan Terhadap Landskap.
Pertama kali diadakan di Putrajaya, sambutan kali ini berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas dengan tema"Malaysia Negara Taman Terindah".
Sebanyak 12 aktiviti menarik diadakan bagi menarik kehadiran pengunjung antaranya senamrobik, eksporasi taman botani, pertandingan gubahan bunga, park race, sukan rakyat, botani talk dan pertandingan melukis untuk pelajar sekolah rendah. - Bernama