Kelantan perlukan blueprint digital ekonomi: Annuar

Iklan
Annuar pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan khas bersama ahli Jawatankuasa Penyelaras KKMM Kelantan di Wisma Persekutuan pada Ahad. - Foto Bernama

KOTA BHARU - Satu Rangka Tindakan (blueprint) lengkap melibatkan digital ekonomi perlu diwujudkan bagi membantu mempertingkatkan keusahawanan yang menguruskan perniagaan secara dalam talian di negeri ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya akan berkerjasama dengan kerajaan Kelantan untuk mewujudkan satu inisiatif bagi menggalakkan industri berkenaan untuk jangka masa panjang.

Iklan
Iklan

"Saya mengharapkan kita dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) supaya kita dapat wujudkan inisiatif digital ekonomi ini nanti.

"Kita ingin mengalakkan urusan perniagaan rakyat termasuk mereka di luar bandar yang menggunakan perniagaan dalam talian serta fasiliti jalur lebar sebagai satu kaedah menambah pendapatan dan meningkatkan produktiviti di Kelantan.

Iklan

"Jadi kita perlukan blueprint yang teratur untuk membolehkan pembangunan keusahawanan di Kelantan yang terkenal sebagai negeri yang mempunyai banyak bakat berniaga sama ada industri kraf ataupun industri domestik untuk dikembangkan ke pasaran dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Kelantan, di Wisma Persekutuan di sini.

Iklan

Mengulas lanjut, Annuar berkata, konsep digital ekonomi yang pada masa ini juga boleh digunakan untuk memperluaskan pemasaran mereka memandangkan kaedah ini telah menjadi rebutan oleh semua negara maju di dunia.

Menurutnya, konsep pembangunan digital ekonomi haruslah disertai negeri ini kerana Kelantan mempunyai potensi dalam daya keusahawanan yang sedia ada.

"Satu perbincangan susulan tentang perkara ini akan diadakan supaya usaha secara khusus dan segera dapat dilakukan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Annuar turut memaklumkan mengenai perkembangan semasa program di bawah KKMM peringkat negeri Kelantan termasuk Jalinan Digital Negara (Jendela).

Katanya, kerajaan akan menaik taraf penggunaan jalur lebar 2G dan 3G kepada 4G di seluruh negeri ini termasuklah di kawasan pedalaman dan perkampungan orang asli.

"Untuk fasa satu Jendela di Kelantan sehingga Ogos, sebanyak 24 menara telekomunikasi telah siap dibina, 870 peralatan pemancar 4G telah dinaik taraf dan 21,867 premis atau rumah pengguna telah diliputi sambungan gentian optik.

"Jadi, proses ini akan terus dilaksanakan melibatkan 67 menara baharu akan dinaik taraf dengan 408 pemancar baharu 4G membabitkan penyambungan gentian optik ke 33,077 premis yang dimulakan pada September ini dan diharapkan siap tahun depan," katanya.