Lubuk penagih jadi kolam air tawar

Iklan
Projek ternakan ikan air tawar yang diusahakan 15 sahabat. - Foto Bernama

KUALA BERANG - Sebuah kawasan terbiar yang sering menjadi tumpuan penagih dadah melepaskan gian kini berubah 'wajah' apabila sekumpulan 15 sahabat mengusahakan projek ternakan ikan air tawar di lokasi tersebut.

Kesemua 15 mereka adalah generasi kedua peneroka Felda Bukit Bading di sini yang bersatu hati berkongsi modal dan tenaga untuk mengusahakan projek itu bermula Mac tahun lepas.

Iklan
Iklan

Ketuanya, Azhar Ismail berkata, projek tersebut adalah ilham generasi pertama peneroka Felda itu namun tidak dapat dilaksanakan kerana beberapa kekangan dan kini hasrat itu diteruskan oleh mereka.

"Meskipun tiada kemahiran dalam bidang ternakan ikan air tawar, kami nekad mengusahakan projek ini bagi mencari pendapatan sampingan untuk menampung perbelanjaan bulanan keluarga. Kebanyakan kami bekerja sendiri dan pendapatan memang terjejas sejak pandemik Covid-19.

Iklan

"Namun, Alhamdulillah usaha ini turut mendapat sokongan Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil Maliaman Kassim yang sudi memberi bantuan kewangan untuk kami menjayakan projek ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Rosol yang turut meluangkan masa dengan melepaskan 6,000 benih tilapia dan 3,000 benih patin di kolam ternakan tersebut, semalam.

Iklan

Azhar berkata, setakat ini kos yang dikeluarkan untuk sembilan sangkar ternakan ikan air tawar itu telah mencecah RM12,000 hasil perkongsian bersama dan mereka menyasarkan untuk menambah lagi 20 sangkar secara berperingkat dalam masa terdekat.

Sementara itu, beberapa peserta yang ditemui berharap projek tersebut akan menjana pendapatan lumayan pada masa akan datang dengan jangkaan pertama tuaian ikan pada Februari tahun depan.

Khairi Muhammad, 41, berkata, beliau berminat menyertai projek itu sebagai inisiatif mempelbagaikan sumber rezeki kerana pendapatannya sebagai jurueletrik selama ini tidak mempunyai kadar yang tetap setiap bulan.

"Kami bertuah kerana mendapat bimbingan daripada Jabatan Perikanan mengenai teknik penjagaan yang betul termasuk aspek pemakanan, kualiti air dan penjagaan kolam. Fokus selepas ini adalah untuk memasarkan ikan patin dan tilapia mengikut permintaan yang sesuai," katanya.

Ramli Ngah, 55, pula berkata, projek ternakan ikan air tawar itu diharap memberi inspirasi kepada generasi kedua Felda yang lain untuk berusaha menaik taraf sosioekonomi mereka.

"Macam saya pun selama ni kerja di kebun sawit, memang tiada pengalaman...namun berkat kerjasama semua, ia berjalan lancar. Paling penting kena ada persefahaman dalam kalangan peserta yang terlibat agar projek ini berjaya sepenuhnya mengikut perancangan," kata bapa kepada tiga anak itu.

Sementara itu, Rosol berkata, beliau telah menyalurkan bantuan sebanyak RM5,000 untuk projek itu dan berjanji akan memberi bantuan sesuai mengikut keperluan semasa.

"Semakin ramai generasi kedua peneroka Felda yang mahu mengubah nasib mereka dengan terlibat dalam bidang keusahawanan. Terbaru, di Felda Tersat yang mahu mengusahakan kolam terbiar untuk dijadikan lokasi baharu aktiviti memancing. Sebagai Ahli Parlimen di sini, kami sokong apa sahaja projek ekonomi yang boleh membantu mereka," katanya. - Bernama