TAWAU - Polis sedang giat memburu tiga tahanan lelaki positif Covid-19 yang meloloskan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Dewan Arena di sini pada jam 12.30 tengah malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, dua tahanan iaitu Niko Matheus, 25, dan Hashim Muhamad Syata, 34, merupakan warga Indonesia manakala seorang lagi, Jimnajir Annor, 23, warga Filipina.
Iklan
Iklan
"Ketiga-tiga mereka ini ditempatkan di PKRC Dewan Arena di sini bersama 16 tahanan lain dan siasatan awal mendapati mereka mengumpil keluar dawai besi di tandas untuk melarikan diri," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Peter berkata, susulan itu pihaknya melancarkan operasi khas Ops Tutup dengan melakukan sekatan jalan raya di lokasi strategik termasuk di jeti Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama di sini bagi mengesan semua suspek terbabit.
"Polis yakin ketiga-tiga tahanan ini masih berada di Tawau, kita juga melaksanakan operasi Ops Kesan dengan mewujudkan pasukan pengesan terdiri daripada pelbagai unit polis," katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga suspek berkenaan diminta tampil dan melaporkan segera ke balai polis berdekatan. - Bernama
Artikel Berkaitan