Malaysia tutup kempen Paralimpik Tokyo dengan kejayaan luar biasa

Iklan
Kejayaan kontinjen Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo selepas berjuang hampir 12 hari dalam temasya di bumi matahari terbit itu sememangnya luar biasa.

TOKYO - Mereka sememangnya luar biasa. Demikian rumusan yang boleh diberikan kepada kontinjen Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo selepas berjuang hampir 12 hari dalam temasya di bumi matahari terbit yang melabuhkan tirainya pada Ahad.

Bukan sahaja mencapai sasaran membawa pulang tiga emas, malah kontinjen negara memahat satu lagi lipatan sejarah baharu dalam dunia sukan tanah air, apabila menamatkan saingan dengan dua lagi pingat perak, sekali gus menjadikannya pencapaian terbaik negara sejak menyertai edisi pertama temasya pada 1972 di Heidelberg, Jerman.

Iklan
Iklan

Kejayaan itu juga mengatasi pencapaian Rio 2016, yang menyaksikan kontinjen negara menghadiahkan tiga emas dan satu gangsa.

Jaguh olahraga negara Abdul Latif Romly yang merupakan wakil terakhir negara beraksi kali ini, sekali lagi mencuri tumpuan apabila tenang melengkapkan emas ketiga menerusi acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) di Stadium Olimpik, Sabtu malam.

Iklan

Walaupun terpaksa menarik diri akibat kecederaan pada lompatan kelima, Abdul Latif boleh tersenyum bangga apabila beliau kini muncul satu-satunya atlet paralimpik yang memenangi dua emas, selepas kejayaan pertamanya di Rio 2016.

Selain Abdul Latif, kem powerlifting muncul sebagai pasukan paling berjaya pada temasya kali ini apabila kedua-dua wakilnya Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Khie, tidak pulang dengan tangan kosong pada aksi yang berlangsung di Tokyo International Forum.

Iklan

Bonnie, badang kerdil dari Sarawak itu tidak mensia-siakan peluang tampil dalam aksi sulungya di pentas Paralimpik apabila muncul atlet pertama negara menyumbang pingat menerusi emas dalam kategori lelaki 72 kilogram (kg) pada 28 Ogos.

Atlet berusia 22 tahun itu turut memadamkan rekod Paralimpik milik Rasool Mohsin dari Iraq yang dilakukan di Rio 2016 iaitu 227kg, selepas mengangkat bebanan seberat 228kg.

Rentak kemenangan Bonnie kemudian disusuli Yee Khie pada 30 Ogos, apabila atlet berusia 32 tahun itu akhirnya berjaya membawa meraih perak bagi acara 107kg, selepas sekadar menghuni tangga ketujuh bagi kategori 97kg dalam kempen pertamanya di Rio 2016.

Pemain perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Cheah Liek Hou, turut menarik perhatian apabila menjadi juara Paralimpik pertama dalam kategori disertainya selepas sukan badminton dipertandingkan buat kali pertama di sini.

Yoyogi National Stadium menjadi saksi kehebatan pemain berusia 33 tahun itu apabila menewaskan seteru utamanya, Dheva Anrimusthi yang juga pilihan utama dari Indonesia, 21-17, 21-15, hari keempat acara badminton pada Sabtu.

Selain menjadi atlet pertama mewakili negara dalam sukan boccia, kelibat Chew Wei Lun di Ariake Gymnastics Centre ternyata mengejutkan ramai dengan menghadirkan perak buat negara.

Pemain kelahiran Johor itu juga unggul mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan, termasuk empat perlawanan kumpulan B acara individu bercampuran BC1 (kecacatan fizikal) sebelum tumpas kepada juara bertahan, dari Great Britain, David Smith, 2-4.

Kejayaan Liek Hou dan Wei Lun menyaksikan Malaysia kini bakal mempunyai sandaran baharu untuk meraih pingat di Paris 2024, selain olahraga dan powerlifting yang menjadi penyumbang utama pingat sejak beberapa edisi lalu.

Di sebalik kisah gemilang atlet negara di Jepun, rakyat Malaysia pastinya sukar untuk melupakan detik hitam yang melanda sukan negara malam 31 Ogos lalu.

Insiden berlaku di Stadium Olimpik itu menyaksikan juara bertahan Rio 2016 Muhammad Ziyad Zolkefli, dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga merupakan satu rekod baharu dunia.

Beliau telah diklasifikasikan sebagai"Did Not Start (DNS)” atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine, yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m, sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Sementara itu, rezeki juga tidak memihak kepada seorang lagi pemenang emas Rio 2016 Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi apabila hanya berupaya menamatkan lariannya di kedudukan keempat dengan catatan masa 12.15 saat (s) pada saingan akhir pagi Sabtu.

Lebih dikenali sebagai ‘Dek Wan’, beliau mengakui keadaan trek licin menjejaskan lariannya sehingga menyebabkannya hampir terjatuh dan terpaksa akur dengan kehebatan pelari China Deng Peicheng yang merampas emasnya selain memecah rekod Paralimpik baharu dengan catatan 11.85s.

Saingan di Lapangan Memanah Yumenoshima Park pula, menyaksikan kem memanah terpaksa akur dengan kehebatan dua pemanah Jawatankuasa Paralimpik Rusia yang menghancurkan impian mereka untuk menghadirkan kilauan pingat buat negara.

Diketuai juara dunia 2019, S. Suresh dilihat tidak berjaya melepaskan panahan cemerlangnya apabila beliau tersingkir awal, tewas 2-6 kepada Bato Tsydendorzhiev di pusingan pertama manakala rakannya Wiro Julin pula, terkandas di pusingan kedua kepada Bair Shigaev, 126-136.

Mengulas mengenai prestasi atlet Malaysia kali ini, Ketua Kontinjen Malaysia Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin bersyukur dengan kejayaan anak buahnya, yang berjaya mencapai sasaran seperti diumumkan sebelum ini.

"Kita gembira menang emas minit akhir oleh Abdul Latif, kita sepatutnya dapat lebih lagi. Pihak Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) juga teruja dan menyifatkan ini penyertaan sukan terbaik sehingga kini, di sebalik pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang media dalam talian hari ini.

Bagi memastikan barisan atlet paralimpik mengekalkan prestasi di Rio 2016 dan juga Tokyo pada temasya akan datang, Megat Shahriman yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) memaklumkan pihaknya akan bekerjasama lebih rapat dengan Majlis Sukan Negara (MSN), terutamanya dalam mengembangkan lagi potensi dimiliki atlet negara.

Dalam pada itu, beberapa atlet senior seperti atlet olahraga Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin yang bertanding dalam acara 400m wanita T20 (kecacatan intelektual), atlet renang Jamery Siga yang bersaing bagi acara 50m kuak kupu-kupu S5 (kecacatan fizikal), dan Abu Samah Borhan yang mewakili negara dalam tenis kerusi roda, kurang menyengat apabila tidak berjaya menghasilkan keputusan memuaskan.

Namun, sandaran boleh diletakkan kepada muka baharu di Paris 2024 seperti Brenda Anellia Larry dan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli yang menampilkan renangan memuaskan termasuk memecahkan beberapa rekod peribadi masing-masing, biarpun tidak berjaya melangkah jauh di Pusat Akuatik Tokyo.

Tumpuan selepas ini pastinya terarah kepada Brenda, 16, yang merupakan atlet termuda negara di Jepun, berpeluang cerah untuk menyinar pada masa depan selepas memecahkan rekod Asia miliknya sendiri dengan catatan 1:00.62s dalam saringan 2, acara 50m kuak kupu-kupu wanita S5 sekali gus memperbaiki catatan 1:09.72s di Kejohanan Siri Dunia Renang Para 2019 di Singapura.

Skuad berbasikal trek dan lebuh raya dibarisi atlet sama iaitu Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin, Zuhairie Ahmad Tarmizi, Mohamad Hafiz Jamali serta gandingan Nur Azlia Syafinaz dan jurumudinya Nurul Suhada Zainal pula, ternyata bergelut menandingi pelumba lain terutamanya dari Eropah yang menguasai kedua-dua acara berkenaan.

Walaupun tiada pingat dimenangi, penampilan Mohamad Yusof Hafizi dilihat paling menyerlah apabila berjaya memperbaharui rekod terbaiknya bagi acara kejar-mengejar 3000m lelaki C1 (kecacatan fizikal) untuk saingan trek di Velodrom Izu, dengan masa 3:58.413s, bagi memperbaiki rekod terdahulu di Milton, Kanada tahun lepas iaitu 4:02.959s.

Mohamad Yusof juga mencapai keputusan memuaskan dengan menamatkan perlumbaan di tempat kelima, menerusi catatan masa 26:46.5s daripada 11 pelumba pada aksi final ujian masa lelaki C1 (kecacatan fizikal) bagi acara lebuh raya.

Penampilan pertama atlet lain seperti pemain badminton Didin Taresoh, yang bersaing bagi perseorangan lelaki SH6 (kecacatan fizikal), Wong Kar Gee dalam acara lompat jauh T13 (kecacatan penglihatan) berakhir dengan kekecewaan, apabila kecederaan dialami ketika beraksi memaksa mereka menarik diri daripada pertandingan.

Kekurangan pengalaman dan perasaan gugup menyelubungi Chee Chaoming yang beraksi dalam perseorangan lelaki TT9 (kecacatan fizikal) pula, menjadi faktor beliau tidak berjaya memberi cabaran kepada pemain lain apabila tewas dalam kesemua perlawanan peringkat kumpulan.

Walau apa pun terjadi, semangat juang serta keazaman tinggi dimiliki atlet dalam membawa cabaran negara perlu dipuji semua pihak, kerana mereka telah berkorban masa dan keringat demi mencapai kejayaan diharapkan di Tokyo ini.

Biarpun meninggalkan Tokyo dengan kejayaan manis, namun diharapkan agar kontinjen negara tidak terus terbuai dengan prestasi dilakar di sini, kerana banyak lagi kerja keras perlu dilakukan bagi memastikan Jalur Gemilang berkibar dengan lebih megah di Paris 2024 nanti.

Terima kasih, wira dan wirawati Malaysia! - Bernama