Nasihat M Karathu

Iklan
Gambar kecil: M Karathu - FOTO: mazram-Iv-blogspot

BIARPUN agak perit untuk menerima kenyataan, namun penyingkiran skuad Liga Super, Perak FC ke saingan Liga Premier musim depan perlu diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak.

Bekas pemain yang juga bekas jurulatih skuad The Bos Gaurus itu, Datuk M Karathu berkata, penyingkiran skuad The Bos Gaurus itu secara keseluruhannya perlu dilihat daripada pelbagai aspek terutamanya yang melibatkan pentadbiran serta perancangan yang dibuat.

Iklan
Iklan

Justeru menurut Karathu, senario berkenaan ia memerlukan resolusi menyeluruh bagi memastikan skuad Kejor Yeop Skor itu dapat kembali ke saingan Liga Super kelak.

"Bagi saya kena buat post-mortem (bedah siasat) betul-betul. Semua pihak kena duduk bincang macam bawa Perak FC naik semula. Sekarang kena terima.

Iklan

"Lagi satu, ‘politiking’ memang kena buang sebab sekarang dah masuk era profesional sepenuhnya. Dah jadi FC (kelab bola sepak) dan sebab itu perlu pastikan ada individu yang boleh uruskan perkara seperti cari dana, penaja semua itu tak boleh harap ‘percuma’ sahaja kerana inilah profesionalisme dalam bola sepak.

"Selain itu, perlu tempoh sekurang-kurangnya setahun untuk sediakan perancangan bajet agar tidak timbul masalah gaji dan lain-lain kerana masalah seperti inilah membuatkan pemain bertindak meninggalkan pasukan dan menyebabkan pasukan kehilangan pemain berkualiti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Iklan

Untuk rekod, Perak FC gagal untuk terus beraksi dalam saingan Liga Super musim depan apabila tewas 1-2 kepada Melaka United FC pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, pada Sabtu.

Kekalahan itu menyaksikan skuad Seladang itu terus terperosok pada kedudukan kedua tercorot Liga Super dengan hanya meraih 13 mata daripada 21 perlawanan musim ini.

Biarpun berbaki satu perlawanan iaitu berdepan Sabah FC pada 12 September, namun ia sudah terlewat untuk menyelamatkan Perak FC daripada tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan.

Selain itu, Karathu turut menegaskan agar Perak FC dapat memiliki seorang pengarah teknikal yang baik khususnya bagi memastikan kesemua pasukan melibatkan Perak FC II, Piala Presiden atau Piala Belia dapat mengamalkan corak permainan yang sama.

Katanya, perkara berkenaan akan memudahkan pemain-pemain muda yang bakal direkrut ke pasukan utama Perak FC dan tidak keliru dengan corak permainan berbeza yang dipraktikkan ketika beraksi dengan Perak FC II, skuad Piala Presiden atau skuad Piala Belia sebelum ini.

Sementara itu, Karathu berkata, kuasa bagi memilih pemain seharusnya diberikan kepada ketua jurulatih kerana mereka pada kebiasaannya dapat mengenal pasti pemain-pemain yang berkebolehan dan sesuai dengan corak permainan sesebuah pasukan.

"Pemilihan pemain perlu diputuskan oleh ketua jurulatih yang mengendalikan pasukan. Sebagai contoh, ketika Perak (FC) menamatkan saingan liga 1988 pada kedudukan tercorot hingga menyaksikan pasukan itu beraksi dalam saingan Liga Divisyen II Liga Semi Pro 1989, saya dipanggil untuk melatih pasukan.

"Difahamkan, saya dipanggil untuk melatih Perak setelah berjaya membawa kelab India Kinta (KIA) ke final Piala FAM 1988. Namun, saya meletakkan syarat untuk diberikan kebebasan memilih pemain dan pihak pengurusan pasukan bersetuju.

"Pada musim 1989, Perak muncul satu-satunya pasukan yang tidak menggunakan pemain import dan kita muncul naib juara Divisyen II Liga Semi-Pro 1989.

"Kemudiannya beraksi semula dalam saingan Divisyen 1 Liga Semi-Pro 1990 di mana kita muncul juara pertama Piala FA pada 1990 selain mara separuh akhir Piala Malaysia bagi dua musim berturut-turut; 1989 dan 1990 namun tewas kepada Kedah Darul Aman FC (KDAFC) pada kedua-dua musim berkenaan,” katanya.