Menanti khabar YB Khairy, sabarlah orang bujang!

Iklan
Gambar hiasan.

SEJAK lebih setahun dilanda pandemik Covid-19, kebenaran untuk makan di restoran disambut gembira oleh segelintir masyarakat yang sudah lengkap dua dos vaksin terutama mereka yang gemar ‘ngeteh’.

Sebenarnya penulis antara kelompok yang gembira dengan kebenaran itu. Sudah lama terkurung di rumah, dapat bersantai makan dan ‘dating’ di restoran cukup menggembirakan.

Iklan
Iklan

Malam tadi, penulis antara orang yang memenuhi kebenaran itu di sebuah restoran masakan Cina Muslim di Shah Alam memandangkan sahabat hendak bertugas di luar kawasan.

Dalam kegembiraan boleh dine in, perlu diingat sijil vaksinasi bukan lesen untuk melupakan pandemik. Walaupun lengkap divaksinasi, orang ramai masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Iklan

Sehingga 4 September, peratusan vaksinasi populasi dewasa di Malaysia lengkap divaksinasi ialah 67.4 peratus atau 15,772,760 individu manakala sekurang-kurangnya satu dos pula ialah seramai 87.2 peratus atau 20,401,824 individu.

Sepanjang pemerhatian penulis, aktiviti dine in dilakukan dengan pematuhan SOP yang baik. Misalnya pengusaha premis makanan memastikan pelanggan yang masuk dalam premis memakai pelitup muka, mengimbas MySejahtera, mengatur meja mengikut SOP dan pelanggan mesti menunjukkan sijil lengkap vaksinasi dua dos.

Iklan

Bagi penulis, angka vaksinasi itu dan angka-angka seterusnya mungkin sahaja membawa satu lagi berita gembira selepas ini terutama untuk si bujang.

Golongan bujang pastinya kini tertumpu pada kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai kebenaran rentas negeri.

Pada 3 September lalu, Khairy Jamaluddin menyatakan masih ada harapan untuk rakyat di negara ini termasuk golongan bujang merentas negeri dalam masa terdekat. Beliau meminta untuk bersabar sementara menunggu perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Menjelang hujung September, semua negeri akan sampai nilai ambang 60 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi. Sikit saja lagi, bersabarlah,” kata beliau.

Penulis berpandangan kebenaran rentas negeri tanpa perlu lagi ke balai polis meminta surat kebenaran sangat dinantikan oleh orang bujang yang sekian lama mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak negara bertarung dengan Covid-19. Tidak lain tidak bukan adalah untuk menatap wajah ibu dan ayah terutama bagi yang sudah berusia di kampung berlainan negeri.

Percayalah, kebenaran rentas negeri itu sangat dinanti-nantikan untuk peluang bertemu keluarga. Namun maksud penulis, golongan bujang yang excited adalah mereka yang tidak dapat sewenang-wenangnya hendak rentas negeri jika tiada alasan kukuh.

Kenyataan YB Khairy, dinantikan semua orang yang sudah begitu lama merindui keluarga di kampung berlainan negeri. Ramai yang makan gaji berjauhan dengan keluarga terkesan akibat Covid-19.

Bayangkan ketika musim buah durian baru-baru ini, ramai anak-anak tidak dapat pulang ke kampung untuk makan durian sambil bersemuka dengan ibu bapa di kebun buah.

Tetapi penulis berpandangan, sebenarnya situasi ini ada kaitan dengan kesedaran vaksinasi. Sebagai contoh, kita teruja balik kampung tetapi bagaimana jika ada ibu bapa kita atau adik beradik yang tidak mengambil vaksin? Perlu kita fikirkan....

Diharap Covid-19 ini terus lenyap dari muka bumi secepat mungkin. Begitu ramai rasa terseksa, terbelenggu dek PKP. Hidup dalam ketakutan dijangkiti penyakit ini.

Kembali kepada norma kehidupan manusia seperti biasa termasuk kepada orang bujang yang berhasrat mengadakan majlis walimatul urus secara meriah.

Dek kerana Covid-19, ramai yang terpaksa melupakan hasrat mengadakan kenduri perkahwinan yang besar lantaran tidak dibenarkan.

Bagi individu yang tidak mahu tangguh kahwin, mereka memilih untuk bernikah di pejabat agama. Tanpa kenduri besar yang dapat dihadiri oleh saudara mara dan sahabat handai dari pelosok negeri. Maklum sahaja, tiada kebenaran untuk merentas negeri.

Tetapi bagi mereka yang tetap hendak mengadakan walimatul urus, mereka kena bersabar dan setiap hari menunggu Covid-19 ini reda dan lenyap hingga situasi kembali normal tanpa pandemik.

* Anita Abu Hasan ialah Penyunting Sinar Harian