Rakyat lega harga kit Covid-19 murah

Iklan
Kit ujian pantas antigen Covid-19 kini dijual pada harga RM 19.90 seunit di setiap farmasi bermula Ahad.


SHAH ALAM - Rata-rata individu berpendapatan sederhana menerima baik keputusan penguatkuasaan harga siling kit ujian pantas antigen Covid-19 yang dijual pada harga RM16 (borong) dan RM19.90 (runcit) bagi satu set yang berkuat kuasa pada Ahad.

Menurut peniaga kedai alat jahitan, Dayang Syafiqah Sallehan, 25, kadar penetapan harga baharu tersebut merupakan langkah tepat dalam usaha kerajaan untuk tidak membebankan rakyat bagi mencegah penularan wabak Covid-19 daripada terus berleluasa.

Iklan
Iklan
DAYANG SYAFIQAH

"Kadar harga yang ditetapkan bagi satu set juga berbaloi dan tidaklah terlalu mahal, saya sebagai peniaga memang sangat memerlukan kit ujian tersebut apatah lagi dengan rutin harian yang sentiasa berurusan dengan orang ramai.

"Saya yakin harga baharu ini tidak akan membebankan pengguna dan sangat bersesuaian dengan pasaran ekonomi di mana ia dapat membantu golongan seperti pekerja kilang, guru dan peniaga membuat ujian kendiri di rumah tanpa perlu hadir ke klinik atau pusat saringan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Pada Khamis, harga borong dan runcit bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 diletakkan di bawah kawalan menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memilih untuk memihak kepada pengguna bagi mengurangkan beban yang ditanggung berikutan harga kit ujian kendiri yang tinggi.

Iklan

Bagi Khairul Azhar Othman, 37, yang bekerja sendiri juga beranggapan harga baharu tersebut merupakan harga mampu milik untuk setiap rakyat sama ada yang tinggal di bandar mahupun luar bandar.

KHAIRUL AZHAR

"Sebagai contoh jika dalam satu keluarga ramai yang dijangkiti Covid-19 atau menjadi kontak rapat, sudah tentu mereka mahu menggunakan kit berkenaan untuk tindakan pengesanan awal dan jika ia dijual dengan harga mahal, sudah pasti akan membebankan keluarga tersebut.

"Jika hendak dibandingkan dengan harga sebelum ini yang agak besar nilainya bagi sesetengah pihak, ditambah dengan keadaan ekonomi sekarang di mana ramai yang tidak dapat bekerja akibat pandemik, ia akan menyukarkan rakyat untuk membeli kit ujian pantas antigen Covid-19 ini,” katanya.

Seorang peniaga barangan kesihatan, Arina Akhir, 30, turut bersetuju dengan penetapan harga tersebut yang bersesuaian keadaan ekonomi dan pendapatan rakyat sekarang.

ARINA

"Terdapat sesetengah pihak yang membeli kit ujian tersebut dengan jumlah yang banyak, jadi harga yang tinggi akan menyebabkan rakyat terbeban dan ada kemungkinan golongan kurang berkemampuan tidak dapat membelinya.

"Tanpa penetapan harga, pihak tidak bertanggungjawab akan mengambil peluang untuk menjualnya dengan harga yang tidak masuk akal,” ujarnya.

Seorang pekerja swasta, Hariz Azhar, 26, berpendapat harga kit ujian Covid-19 sememangnya perlu dikawal selia sejak awal lagi dan harga baharu mampu milik yang ditentukan oleh kerajaan diharap akan bantu mengurangkan beban rakyat.

"Dalam menempuh hidup sewaktu musim pandemik ini, kit ujian Covid-19 merupakan antara barangan keperluan penting yang harus dimiliki oleh rakyat di setiap rumah,” katanya.

Persediaan hadapi endemik

Nik Mohamad Aifaa, 27, yang merupakan pengendali media sosial pula menyifatkan penetapan harga siling itu tepat pada waktunya memandangkan Malaysia akan mengalami fasa endemik di mana rakyat perlu hidup bersama virus Covid-19.

"Apabila harga murah, orang yang kurang berkemampuan terutamanya golongan miskin bandar dapat beli dan lakukan ujian tersebut bagi mencegah keluarga mereka dari Covid-19,” katanya.

Bagi Puteri Nur Iman Ismail, 21, yang merupakan peniaga kek, bersetuju dengan pengumuman itu di mana pengenalan harga siling bagi kit ujian kendiri Covid-19 mampu membantu mengawal harga barang tersebut dari dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Dengan ada harga siling itu, mana-mana pihak tidak boleh sesuka hati menaikkan harga barang ini.

"Ia akan membantu golongan sederhana untuk dapat kit ujian kendiri itu bagi mengelakkan penularan virus Covid-19,” katanya.

Operator kilang, Muhammad Aliff Abd Aziz, 24, berkata, penetapan harga siling bagi kit ujian kendiri Covid-19 memberi gambaran positif terhadap usaha kerajaan dalam menangani wabak tersebut.

"Harga kit ujian kendiri yang murah dan berpatutan memberi manfaat dari segi mencegah penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti selain cara penggunaan yang mudah dan keputusan ujian yang pantas,” katanya.

Kit ujian pantas antigen Covid-19 kini dijual pada harga RM 19.90 seunit di farmasi seluruh negara.

Turut senada pandangan dengan Muhammad Aliff ialah Eksekutif IT, Mohamad Arif Mohamad Zain, 24, yang menyifatkan harga kit ujian kendiri itu mampu memberi kesedaran kepada orang awam untuk melakukan ujian saringan Covid-19.

"Saya rasa apabila harga turun orang akan beli untuk lakukan ujian sama ada mereka positif atau tidak.

"Secara tak langsung ia akan membantu mencegah penularan Covid-19 dalam komuniti,” katanya.

Bagaimanapun, dalam kebanyakan individu yang menyuarakan persetujuan atas pelaksanaan harga baharu kit ujian Covid-19, berbeza pula dengan seorang penghantar makanan, Luqmanul Hakeem Khairul Anuar, 25, apabila kurang bersetuju dengan penetapan harga baharu tersebut.

Katanya, harga yang ditetapkan agak mahal dan dilihat tidak berpatutan untuk golongan B40 berbanding negara luar yang memberikan kit ujian tersebut secara percuma kepada rakyatnya.

"Bagi saya, jika harganya dapat diturunkan pada RM10 satu set, setidaknya dapat memberi peluang kepada golongan B40 membelinya untuk semua ahli keluarga dan membantu mereka mengesan virus ini di rumah,” ujarnya.