SHAH ALAM - Bergelar suri rumah sepenuh masa tidak menghalang Wan Nur Faziellah Wan Ibrahim untuk menjana pendapatan ribuan ringgit melalui hasil titik peluh sebagai seorang usahawan minyak urut.
Beliau yang merupakan anak kelahiran Setiu, Terengganu itu menceburi bidang jualan produk minyak urut jenama MMG dengan niat membantu suaminya bersama-sama memberi kehidupan yang lebih baik untuk tiga orang anaknya.
Wan Nur Faziellah, 30 mengakui suri rumah sepenuh masa juga perlu mencari peluang menjana pendapatan sendiri sebagai persiapan atau bekalan pada masa akan datang.
"Sebagai suri rumah, terdetik di hati saya untuk mencari pendapatan sendiri kerana kita tidak tahu perkara yang akan terjadi di kemudian hari,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Lebih membanggakan, kini beliau mampu tersenyum dengan pencapaiannya sebagai master stokis yang juga digelar ‘leader diamond’ hingga membolehkan beliau menubuhkan syarikat sendiri yang diberi nama Ilah Jutawan Empire.
Berbekalkan modal permulaan hanya sebanyak RM2,200 untuk 100 produk pada 2016 lalu, beliau memberanikan diri mengorak langkah untuk terus menyertai pasukan MMG selepas menjadi pengguna produk itu sendiri.
"Saya pertama kali sertai MMG pada tahun 2016 kerana berniat untuk membantu pengasas yang baru sahaja melancarkan produk minyak urut.
"Saya sendiri semakin yakin bahawa produk ini maju dan bersaing. Tidak lama kemudian saya ambil keputusan untuk mendaftarkan diri sebagai stokis.
"Minyak urut ini juga adalah satu produk keperluan kerana digunakan berulang kali dan saya yakin produk tersebut akan berada di pasaran untuk jangka masa panjang. Ini merupakan produk keperluan dan bukan hanya bermusim,” ujarnya.
Menariknya, selain ingin berkongsi manfaat 100 peratus produk keluaran Muslim itu kepada orang ramai, Wan Nur Faziellah turut mahu menggalakkan lebih ramai suri rumah untuk menyertai pasukannya dalam menjana pendapatan keluarga masing-masing.
Apatah lagi, dalam musim pandemik Covid-19 yang masih belum menunjukkan tanda akan pulih dalam masa terdekat, suri rumah perlu sedar betapa pentingnya untuk mereka mempunyai pendapatan sendiri.
Ketika pengusaha lain terpaksa ‘gulung tikar’ akibat menjadi mangsa Covid-19, Wan Nur Faziellah bersyukur tempoh pandemik tidak menghalang perniagaannya daripada terus berkembang dengan maju.
"Alhamdulillah kami tidak menghadapi masalah dari segi jualan minyak urut malah permintaan semakin memberangsangkan sejak tahun ini.
"Cuma ada masalah tidak cukup stok disebabkan kilang tidak dapat beroperasi sepenuhnya berikutan penularan Covid-19.
"Walaupun pembeli terpaksa menunggu stok, tapi pesanan semakin meningkat, mungkin juga kerana orang ramai sudah mula kenal dan tahu kebaikan produk MMG ini,” jelas beliau.
Sasar jualan RM1 juta Menurut Wan Nur Faziellah, sebagai ‘leader’ pasukan, beliau mensasarkan jualan akan mencecah RM1 juta pada tahun ini.
Katanya, setakat Januari hingga Ogos lalu, syarikatnya sudah berjaya mendapatkan hasil jualan hampir RM750,000 iaitu yang tertinggi sepanjang lima tahun beroperasi.
"Saya menjangkakan jualan pada tahun ini adalah sebanyak RM1 juta. Pada tahun lalu kita mencatatkan RM700,000 untuk setahun. Insya-ALLAH kami akan berusaha untuk mencapai sasaran yang ditetapkan pada tahun ini.
"Saya kini mempunyai ejen di Singapura dan di seluruh negeri, InsyaALLAH sasaran selepas ini adalah untuk mencari ejen di Brunei pula disebabkan saya pun ada kenalan di sana,” katanya.
Wan Nur Faziellah berkata, setakat ini beliau telah menggalas amanah untuk memberi tunjuk ajar kepada kira-kira 476 orang pasukan di bawahnya.
Beliau juga ingin mengajak dan membantu lebih ramai suri rumah menyertai pasukannya dan meletakkan sasaran untuk membantu ejen di bawahnya memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM1,000 jualan sebulan.
Jelas usahawan ini, dengan pendapatan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu keluarga masing-masing dalam urusan bayaran bil elektrik, air, barangan dapur dan sebagainya.
Berkongsi strategi perniagaannya, beliau amat menggalakkan pasukannya untuk menggunakan platform media sosial sebaik mungkin.
"Disebabkan kebanyakan ‘leader’ saya pun suri rumah, jadi saya lebih tekankan strategi yang menfokuskan penggunaan media sosial seperti Tiktok, Facebook dan Instagram.
"Setiap hari juga memang akan ada kelas yang akan mengajar mengenai teknik pemasaran, cara mendapatkan pembeli, jualan dan pelbagai lagi dari A hingga Z,” katanya.
Beliau juga mahu stok pasukan bergerak dengan pantas dan cepat habis bukannya hanya sekadar tambah semula stok.
"Saya menyasarkan untuk mempunyai ‘leader’ di setiap negeri dalam pasukan sendiri, Sekarang hanya ada di Johor, Pahang, Kelantan dan Kuala Lumpur.
"Saya akan pastikan akan ada ‘leader’ di negeri-negeri lain juga untuk masa hadapan,” katanya dengan penuh semangat.
Nama: Wan Nur Faziellah Wan Ibrahim Syarikat: Ilah Jutawan Empire Produk: Minyak Urut Moden MMG No telefon: 011-21613959 Instagram: mmg_pasirgudang_ilah Facebook: Marvelous Massage Gel Johor