27 ditahan langgar syarat lesen tangkap ikan

Iklan
Antara hasil tangkapan daripada salah sebuah bot yang ditahan oleh Unit Perlindungan Sumber Perikanan Terengganu, awal pagi Ahad.

KUALA TERENGGANU - Seramai 27 nelayan ditahan selepas didapati melanggar syarat lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak kurang 12 batu nautika dari Kuala Merchang, Marang, di sini, awal pagi Ahad.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, kesemua 22 nelayan warga tempatan dan lima warga Myanmar yang menaiki dua bot pukat jerut dan pukat tunda kelas C ditahan antara jam 1 hingga 4.30 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penahanan itu hasil operasi pemantauan, pengawalan dan survelan (MCS) oleh Unit Perlindungan Sumber Perikanan Terengganu di kawasan perairan Pulau Kapas hingga Dungun.

"Kesemua kru serta dua bot yang berpangkalan di Kuala Besut dan Kuantan, Pahang itu dibawa masuk ke Pangkalan Perlindungan Sumber Pulau Kambing untuk tindakan lanjut.

Iklan

"Turut disita dua vesel dan hasil tangkapan 4,000 kilogram dengan keseluruhan nilai dianggarkan RM3 juta," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Ruzaidi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan kompaun.

Iklan

"Pemantauan dan tindakan akan diambil dari masa ke masa bagi memastikan tiada pihak yang melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Kita juga tidak akan berkompromi dengan pihak yang gagal mematuhi Akta Perikanan 1985," jelasnya.