KUANTAN - Seorang lelaki terpaksa 'melabur' lebih RM65,000 untuk memenangi hadiah nombor ramalan mencecah lebih RM1.1 juta yang disertainya pada Mei lalu.
Hasrat lelaki berusia 45 tahun itu tidak kesampaian apabila hadiah yang dijanjikan itu sebenarnya tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa bukan sahaja gagal menerima hadiah wang lumayan tersebut malah wang yang dibayar untuk menyertai perjudian itu turut lesap.
Menurutnya, mangsa mencuba nasib menyertai perjudian itu setelah melihat peluang yang diiklankan melalui laman sosial Facebook pada 8 Mei lalu.
"Mangsa berminat untuk mencuba dan menghubungi penganjur (suspek) melalui aplikasi mesenger.
"Suspek kemudian dihubungi mangsa untuk berbincang cara memenangi hadiah itu," katanya melalui satu kenyataan pada Isnin.
Mohd Wazir berkata, untuk memenangi hadiah wang tunai lebih RM1.1 juta itu, selain wang pertaruhan, mangsa turut diminta membuat beberapa bayaran lain termasuk cukai dan sebagainya.
"Mangsa juga terpaksa membayar semua bayaran diminta kerana bimbang diancam setelah suspek mengugut untuk menghantar orang mencarinya jika enggan berbuat demikian.
"Bermula pada 8 Mei lalu, mangsa telah membuat 16 pembayaran ke sebuah akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM65,180," katanya.
Beliau berkata, mangsa syak ditipu setalah gagal menerima hadiah seperti dijanjikan lalu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bentong pada Ahad.
"Mangsa membuat laporan itu kerana bimbang keselamatannya terancam," katanya.
Sementara itu dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 37 tahun mengalami kerugian RM13,760 setelah tertipu dalam urusan pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang diiklankan di Facebook, Ogos lalu.
Beliau berkata, mangsa berminat untuk membeli MPV itu sebelum berurusan dengan penjualnya melalui aplikasi Whatsapp.
"Mangsa diminta membuat bayaran dan kos tambahan atas pelbagai alasan sebelum kenderaan tersebut dihantar.
"Mangsa telah membuat bayaran secara berperingkat sebanyak 11 kali sejak 4 Ogos lalu dengan jumlah keseluruhan RM13,760 melalui dua akaun bank berbeza," katanya.
Tambahnya, selepas bayaran dibuat, suspek berjanji akan segera menghantar kenderaan tersebut namun sehingga laporan polis di buat di Balai Polis Bentong pada Ahad, mangsa masih belum menerimanya.
Mohd Wazir berkata, kedua-dua kes tersebut dibuka kertas siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.