KUANTAN - Seorang penganggur terpaksa membayar RM72,999 untuk mendapatkan pinjaman hanya RM5,000 selepas diperdaya ahli sindiket pinjaman wang tidak wujud melalui Facebook.
Mangsa berusia 39 tahun membuat bayaran itu melalui 47 transaksi ke 14 akaun bank atas nama individu berbeza sejak Jun tahun lalu.
Iklan
Iklan
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa membuat laporan polis semalam selepas menyedari ditipu.
"Mangsa tertarik dengan iklan tawaran pinjaman wang itu yang ditawarkan sebuah syarikat melalui Facebook selepas melayari laman sosial itu Mei tahun lalu. Mangsa memberikan segala maklumat diperlukan untuk mendapatkan pinjaman RM5,000.
"Dia kemudian dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai ejen syarikat pinjaman tersebut pada Jun tahun 2018. Mangsa diminta membuat beberapa pembayaran untuk proses kelulusan permohonan pinjaman itu,” katanya.
Menurutnya, mangsa akur dengan arahan suspek apabila membuat bayaran diminta sehingga mencecah RM72,999 sedangkan pinjaman dipohon hanya RM5,000 dan wang tersebut juga tidak diterimanya.
"Polis akan mengenal pasti 14 pemilik akaun bank yang digunakan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.