PBB janji teruskan bantuan kemanusiaan kepada Afghanistan

Iklan
PBB bersetuju untuk meneruskan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan. - Foto 123RF

MOSCOW - Delegasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertemu dengan perwakilan Taliban di Kabul pada Ahad telah bersetuju untuk meneruskan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan, kata jurucakap Taliban Suhail Shaheen, lapor Sputnik.

"Perwakilan IEA (Emirat Islam Afghanistan) mengucapkan terima kasih kepada delegasi PBB, yang memberi jaminan untuk kerjasama dan penyediaan bantuan yang diperlukan," tulis Shaheen di Twitter.

Iklan
Iklan

Sementara itu menurut jurucakap Pejabat Politik Taliban Mohammad Naeem, Ketua Setiausaha PBB untuk Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan Martin Griffiths bertemu dengan Ketua Pejabat Politik Taliban Abdul Ghani Baradar di Kabul pada Ahad.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stéphane Dujarric pada Ahad berkata, pihak berkuasa Afghanistan berjanji akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan petugas dan akses kemanusiaan kepada orang yang memerlukan serta kebebasan bergerak petugas lelaki dan wanita.

Iklan

Dujarric berkata, lebih banyak mesyuarat mengenai isu kemanusiaan dijangka diadakan dalam beberapa hari lagi dan pihak berkuasa Afghanistan komited bekerjasama dengan komuniti kemanusiaan untuk memastikan bantuan berjaya disalurkan kepada penduduk Afghanistan.

Wakil Kesatuan Eropah (EU) untuk Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan, Josep Borrell pada Jumaat berkata, EU merancang untuk menyelaraskan hubungan dengan Taliban melalui kehadiran bersama EU di Kabul.

Iklan

Tegasnya, keterbukaan blok untuk bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Taliban bergantung kepada lima kriteria, termasuk penyampaian bantuan kemanusiaan yang berterusan dan pengunduran sepenuhnya tentera asing. - Bernama