RM26.34 juta disalurkan tangani kesan Covid-19 di Negeri Sembilan

Iklan
Aminuddin

SEREMBAN - Sebanyak RM26.34 juta peruntukan disalurkan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Negeri Sembilan bagi membiayai kos pengoperasian dan pengurusan dalam menangani pandemik Covid-19 di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, daripada jumlah itu, RM6.84 juta disalurkan bagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) serta stesen kuarantin berbanding RM4.4 juta pada tahun lalu melalui Pejabat Daerah dan Tanah masing-masing.

Iklan
Iklan

"Selain itu, RM9.56 juta diagihkan untuk operasi pusat pemberian vaksin (PPV) yang mana sehingga Ogos lalu RM6.5 juta telah dibelanjakan selain RM10 juta pula disalurkan bagi Program Strategik Memperkasakan Rakyat dan Ekonomi dan pelaksanaan projek berskala kecil.

"Peruntukan itu susulan peningkatan kes yang mendadak dan meletakkan Negeri Sembilan dalam kedudukan lima teratas peningkatan kes harian untuk suatu tempoh sebelum ini, bagaimanapun dengan usaha dan komitmen berterusan, kita berjaya beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara mulai 4 September lalu,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Gemencheh) mengenai jumlah bantuan disalurkan kepada kerajan negeri untuk membendung penularan Covid-19, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada Isnin.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Datuk L Manickam (BN-Jeram Padang) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri akan mewujudkan PPV sementara khusus untuk warga asing termasuk di ladang-ladang, Aminuddin berkata, perkara itu akan dipertimbangkan dan dipanjangkan kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Iklan

Sementara itu, bagi meringankan beban pemain industri pelancongan mendepani penularan Covid-19, beliau berkata, sebanyak RM1.71 juta bantuan diperuntukkan termasuk membabitkan bantuan tunai one-off kepada persatuan pelancongan negeri, rebat cukai taksiran dan lesen perniagaan.

Beliau menjawab soalan Datuk Tun Hairudin Abu Bakar (BN-Bagan Pinang) berkenaan insentif dirancang kerajaan negeri dalam membantu penggiat industri pelancongan di Negeri Sembilan dalam berdepan kesan wabak itu. - Bernama