EJEN kepada Donny van de Beek, Guidol Albers menyifatkan kehadiran Cristiano Ronaldo ke Manchester united akan memberikan impak buruk kepada pemain kelahiran Belanda itu.
Menurutnya, van de Beek akan terus mengalami kesukaran untuk mendapatkan minit bermain musim ini selepas turut diketepikan oleh pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer musim lalu.
Pemain berusia 24 tahun itu bermain di posisi sama dengan bintang United, Bruno Fernandes yang menyebabkan dia sering dipinggirkan daripada kesebelasan utama.
Dia juga mampu bermain di posisi menyerang yang lain namun kehadiran Ronaldo dan Jadon Sancho akan terus menyaksikan dia kekal tidak menjadi pilihan Solskjaer.
"Kehadiran Cristiano kita tahu akan menjadi berita buruk kepada kami. Paul Pogba bermain di sebelah kiri dan dengan adanya Cristiano ia bermakna akan ada seorang lagi pemain akan ditolak ke bahagian tengah. Pogba pula akan bertukar posisi daripada bahagian kiri.
"Kami telah mengadakan perbincangan dengan Solskjaer dan pihak pengurusan. Kami juga melakukan inisiatif sendiri mencari kelab lain dan telah berbincang dengan Everton pada jendela perpindahan musim panas baru-baru ini.
"Sebelum jendela perpindahan ditutup, kami mendapat panggilan daripada Solskjaer yang pihak kelab tidak bercadang untuk menjualnya dan dia perlu melaporkan diri dalam sesi latihan.
"Perbincangan dengan Solskjaer pada kali ini lebih jelas dan saya yakin Donny akan mendapat peluangnya. Dia juga bekerja keras pada musim panas dan hanya bercuti selama tujuh hari sebelum berlatih untuk memastikan dia kekal cergas," katanya.
Ronaldo dijangka akan membuat penampilan bersama United ketika berdepan Newcastle di Old Trafford pada Sabtu ini.