PKPS nafi ceroboh HSK Sungai Panjang ganti HSKLU

Iklan

SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menafikan pihaknya menceroboh dan membuka sebahagian kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Panjang di Sabak Bernam yang kononnya dikatakan hutan gantian berikutan penyahwartaan HSK Kuala Langat Utara (HSKLU).

PKPS dalam satu kenyataan berkata demikian setelah merujuk laporan beberapa portal berita berhubung kenyataan media gabungan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung perkara terbabit.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan tersebut, tuduhan tersebut dilakukan dengan mengaitkan nyahwarta HSKLU dengan tanah milik persendirian PKPS yang akan dibangunkan sebagai tapak lnisiatif Jaminan Bekalan Makanan Negeri Selangor.

"Tapak projek pembangunan pertanian bersepadu dikenali sebagai Selangor Smart Agro Park (SSAP) yang dikaitkan dengan tohmahan berkenaan merupakan tanah hak milik PKPS berstatus pertanian dan bukan berstatus HSK seperti yang disahkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menerusi surat Bil (9) dalam PHN.SEL.100-5/3/60 Jld 3 bertarikh 16 April 2021 serta Pelan Fizikal Negara, Pelan Struktur Negeri dan Pelan Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

Iklan

"PKPS ingin menegaskan isu nyahwarta HSKLU tiada kaitan langsung dengan pihak PKPS.

"Kami juga menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan dan menyifatkannya sebagai kenyataan yang berniat jahat dan subversif bagi merosakkan imej PKPS dan secara tidak langsung ingin mensabotaj inisiatif kerajaan Selangor yang dirancang bagi kepentingan rakyat negeri itu,” menurut kenyataan tersebut pada Isnin.

Iklan

Dalam pada itu, PKPS memaklumkan pihaknya sedang menyiapkan laporan Environmental Impact Assessment (EIA) dan mematuhi semua saranan serta arahan dari Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS) sebelum memulakan kerja-kerja pembangunan di tapak SSAP seperti diarahkan oleh JAS menerusi surat kelulusan bertarikh 31 Mei 2021.

Menurut kenyataan tersebut, JAS membenarkan PKPS melakukan kerja-kerja pembaikan atau seperti pembinaan sistem perparitan, kolam takungan, penstabilan tanah, kawalan hakisan tanah dan kelodakan serta kawalan saliran tanah gambut memandangkan kawasan berkenaan sering dilanda bencana banjir serta dicerobohi oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak tahun 2000.

"PKPS menerima aduan mengenai imej satelit yang menunjukkan bahawa berlaku pencerobohan oleh pihak luar di dalam kawasan SSAP dan sekitar HSK Sungai Panjang pada 28 Ogos 2021 dan langkah pencegahan dibuat dengan pemantauan ketat di keseluruhan tapak hak milik PKPS seluas 971 hektar.

"Kerajaan Selangor menyerahkan hak penjagaan kawasan ini kepada PKPS bagi memudahkan pemantauan dan mengelakkan pencerobohan dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

"PKPS juga sedang mengambil langkah-langkah pencegahan khas bagi memastikan tidak lagi berlaku kejadian pencerobohan memandangkan PKPS sedang mematuhi notis arahan pemberhentian kerja (SWO) yang dikeluarkan oleh JAS pada 8 April 2021,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam perkembangan lain, PKPS berkata, kenyataan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh gabungan NGO tersebut mempunyai niat jahat dan unsur mengaitkan PKPS dengan agenda tersendiri.

"Mereka seharusnya membuat laporan dan mendapatkan penjelasan daripada PKPS atau kerajaan Selangor sebelum membuat tuduhan tidak berasas.

"Justeru, bagi memastikan penyebaran berita palsu seperti ini tidak berulang, PKPS akan mengambil tindakan undang-undang termasuk tuntutan saman fitnah terhadap pihak terbabit dalam masa terdekat kerana cubaan untuk merosakkan nama baik PKPS dan kerajaan dengan membuat tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas.

"PKPS kekal komited untuk melaksanakan projek SSAP berdasarkan lunas undang-undang dan peraturan ditetapkan oleh kerajaan Selangor.

"PKPS memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan lain dan NGO yang berintegriti dan ikhlas untuk membantu kerajaan negeri memastikan sektor agro-makanan tempatan dapat menampung kehendak rakyat Selangor pada masa hadapan,” tegas kenyataan tersebut.