IPOH - Sebuah persatuan warisan menemukan lukisan gua yang dianggarkan berusia antara 2,500 hingga 4,000 tahun di Gua Kanthan, Chemor di sini.
Pelbagai lukisan terdapat pada dinding dan lelangit gua tersebut seperti diconteng arang hitam dan berwarna merah berbentuk kapal, manusia, matahari, haiwan serta turut dijumpai kulit siput dipercayai jenis 'Brotia Spinola' dan rangka tuntung.
Penasihat Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak (GEONAT), Ching Boon Tat berkata, lukisan itu ditemukan semasa beliau serta dua rakannya sedang menjalankan eksplorasi di kawasan berkenaan dua minggu lalu.
"Ini merupakan lukisan gua yang pertama djumpai di Gua Kanthan. Lukisan itu masih cantik dan tidak terjejas langsung. Berkemungkinan gua ini dahulu menjadi penempatan manusia zaman Neolitik.
"Kami menemukan lukisan berbentuk kapal sepanjang kira-kira 150 sentimeter dengan 10 orang berada di atas kapal itu selain lukisan berbentuk matahari dan haiwan seperti biawak dan ayam," katanya baru-baru ini.
Boon Tat berkata, pihaknya berharap penemuan lukisan itu dapat dikaji dengan lebih lanjut dan terperinci oleh pakar sejarah yang berkaitan supaya mendapat maklumat lebih tepat dan mengumpul bukti mengenainya selain mengharapkan supaya tinggalan arkeologi itu dapat dipelihara dengan sebaik-baiknya.
"Kami tidak membuat kajian saintifik atau kajian khas sebaliknya hanya melakukan kajian secara umum dengan ahli persatuan sepenuhnya tanpa pembabitan daripada pengkaji sejarah. Lukisan ini perlu diukur dan dikaji dengan lebih terperinci dari segi pentarikhan dan sebagainya," katanya.
Sementara itu, Ahli Arkeologi Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), Saw Chaw Yeh ketika dihubungi berkata, kajian secara menyeluruh perlu dilakukan bagi mengetahui dengan lebih tepat usia lukisan berkenaan.
Beliau berkata, secara umumnya, khususnya di Asia Tenggara lukisan gua yang berwarna merah telah wujud pada zaman Neolitik manakala lukisan seperti diconteng arang hitam berkemungkinan telah berusia beratus tahun.
"Setakat ini tiada apa yang kita boleh kenal pasti untuk kaitkan lukisan itu dengan zaman yang mana satu. Ini kerana setakat ini isu utama ialah tidak ada ikon atau simbol yang boleh bantu dalam penentuan tarikh lukisan itu.
"Kebiasaannya, orang zaman purba menggunakan sejenis batu 'hematite' yang kebanyakannya digunakan di gua batu kapur di Malaysia dan kemungkinan ketika itu mereka mencampurkan darah atau buah-buahan untuk melukis," katanya. - Bernama