Kompleks Sukan MBSP dijadikan Pusat Persampelan Covid-19

Iklan
Kon Yeow (kiri) mendengar penerangan daripada Dr Suraya (kanan) mengenai pengoperasian Pusat Persampelan Covid-19 peringkat daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

BUKIT MERTAJAM - Kompleks Sukan dan Kolam Renang Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Jalan Betek di sini kini dijadikan Pusat Persampelan Covid-19 peringkat daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Pembukaan pusat tambahan itu bagi mengatasi kesesakan orang ramai yang mahu membuat ujian calitan, memakai atau memotong gelang di Klinik Kesihatan Daerah Berapit sebelum ini.

Iklan
Iklan

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri komited untuk menukar guna fasiliti dan kemudahan awam di negeri ini dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 sekali gus memenuhi kesejahteraan rakyat negeri ini.

Menurutnya, bagi tujuan itu kerajaan negeri sentiasa mendengar cadangan dan mengikut keperluan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam memastikan kemudahan serta perkhidmatan kesihatan dapat berjalan dengan baik.

Iklan

"Saya bersama Pengarah JKNPP akan meneliti keperluan ini kerana kerajaan negeri bersedia memberi segala bantuan untuk memastikan semua kemudahan yang diperlukan sebagaimana disaksikan pada hari ini,” katanya ketika melawat Pusat Persampelan Covid-19 ‘tambahan’ di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pegawai Kesihatan Daerah SPT, Dr Suraya Idris; Datuk Bandar MBSP, Datuk Sr Rozali Mohamud dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Iklan
Kon Yeow ketika meninjau Pusat Persampelan Covid-19 peringkat daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow berkata, pihaknya berharap cadangan JKNPP berhubung penyediaan kemudahan tambahan seperti Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) serta kelengkapan perubatan yang diperlukan di hospital Covid-19 di Pulau Pinang dapat segera dipenuhi peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, kemudahan berkenaan amat penting memandangkan kes-kes yang meningkat kebelakangan ini di Pulau Pinang menyebabkan kebanyakan kemudahan perubatan menghadapi tekanan untuk memberi perkhidmatan selain menimbulkan beberapa kekangan.

"Kerajaan negeri telahpun membuat permintaan kepada KKM supaya dapat membantu kita dari segi penempatan tambahan terutama sumber manusia.

"Semua kemudahan ini perlu mendapat perhatian serta tindakan secepat mungkin supaya kita dapat mengawal keadaan kesihatan awam di Pulau Pinang,” tambahnya.

Sementara itu, difahamkan Pusat Persampelan Covid-19 ‘tambahan’ di sini akan dibuka selama tiga bulan sehingga Disember 2021 dengan kapasiti pengunjung harian pada saat ini adalah seramai 296 orang.

Dalam pada itu, Dr Suraya berkata, ujian calitan serta pemakaian gelang berkaitan kepada mereka yang merupakan kontak rapat atau sah dijangkiti Covid-19 adalah bermula jam 9 pagi hingga 1 petang, sementara sesi potong gelang pula pada jam 4 petang hingga 6 petang.

"Sebelum ini, Pusat Persampelan Covid-19 di Klinik Kesihatan Daerah SPT dekat Berapit.

"Tetapi disebabkan isu yang timbul iaitu kesesakan lalu lintas sehingga mengganggu ketenteraman awam penduduk setempat, Pejabat Kesihatan Daerah SPT memohon untuk menggunakan fasiliti di sini dari Pejabat Daerah dan MBSP,” katanya.