PUTRAJAYA - Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) disarankan untuk merangka penyelesaian yang praktikal untuk membolehkan perniagaan kembali pulih dan beroperasi secepat mungkin.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, DFI memainkan peranan strategik dan penting dalam usaha negara untuk memulih serta memelihara kapasiti perniagaan yang menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan menyokong kehidupan rakyat Malaysia.
Iklan
Iklan
"Sehubungan itu dan sejajar dengan semangat #KeluargaMalaysia, saya ingin menyarankan agar DFI memberi sokongan penuh kepada negara dalam tempoh pemulihan ini, terutama sekali kerana objektif DFI adalah untuk membantu membangunkan sosio-ekonomi rakyat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, sokongan tersebut merangkumi sokongan segera seperti pemberian pembiayaan bagi menghindari impak ekonomi jangka panjang terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam sektor-sektor strategik.
"Ia termasuklah sektor pelancongan, peruncitan, pertanian, infrastruktur, maritim, eksport serta industri berteknologi tinggi dan bermodal intensif," katanya.
Beliau berkata, cadangan penyelesaian akan turut dipertimbangkan dalam merangka Bajet 2022.