Pencemaran air: Pertimbang hukuman lebih ketat

Iklan
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berharap pihak berkuasa akan mengkaji semula hukuman yang lebih ketat bagi kesalahan pencemaran sumber air mentah. Gambar hiasan

GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berharap pihak berkuasa akan mengkaji semula hukuman yang lebih ketat bagi kesalahan pencemaran sumber air mentah untuk mengelakkan isu pencemaran itu berlaku di negeri ini, seperti yang menimpa Kuala Lumpur dan Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, setakat ini, kebanyakan kejadian pencemaran air mentah di Malaysia sebahagian besarnya disebabkan oleh kesilapan manusia, kecuaian, kejahilan dan/atau niat buruk.

Iklan
Iklan

"Sebagai langkah pencegahan tambahan, hukuman bagi pencemaran sumber air mentah perlu dikaji semula agar lebih ketat, untuk menggambarkan implikasi ‘jenayah’ yang membahayakan kesihatan dan kesejahteraan berjuta-juta penduduk yang bergantung kepada bekalan air yang baik setiap hari.

"Untuk meminimumkan risiko berulang, semua tebing sungai sumber air mentah utama di Malaysia harus ditetapkan dengan jelas, dilindungi dan dikawal sebagai ‘kawasan akses terhad’,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Sementara itu, beliau turut memohon agar cadangan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan aerotropolisnya dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat iaitu jauh dari tebing Sungai Muda, Kedah supaya tidak membahayakan kualiti air mentah.

"Air mentah dari Sungai Muda digunakan untuk menghasilkan air terawat kepada 1.78 juta penduduk di Pulau Pinang dan penduduk di negeri ini (Pulau Pinang) menggunakan air terawat PBAPP untuk minum, memasak, mandi, mencuci dan membersih setiap hari,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, kualiti air mentah yang diabstrak oleh PBAPP dari Sungai Muda, di hilir dari tapak projek yang dicadangkan pasti akan terjejas oleh pelepasan air sisa setiap hari. - Bernama