Kekal dasar pengambilan pelajar MRSM keputusan tepat: MIC

Iklan
Gambar hiasan

SHAH ALAM - Keputusan mengekalkan dasar pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tanpa mengira aliran sekolah adalah tindakan tepat dalam melambangkan slogan Keluarga Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Datuk P Kamalanathan berkata, tindakan tersebut juga mengukuhkan persepakatan barisan di bawah pentadbirannya dalam mengamalkan konsep yang disarankan perdana menteri.

Iklan
Iklan

"Konseptualisasi negara sebagai keluarga di bawah satu payung besar dengan peluang kesejahteraan dan kemakmuran yang diperoleh harus dikongsi bersama merupakan prinsip mulia dan keputusan ini adalah buktinya.

"Semua keputusan dan dasar harus dibuat dengan memperhalusi dan mempertimbangkan prinsip ini sebagai landasan dalam memastikan visi kepimpinan negara mencapai kejayaan masa akan datang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Pada Ahad, kerajaan bersetuju mengekalkan dasar pengambilan pelajar ke MRSM sebelum ini, iaitu tanpa mengira aliran sekolah selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.

Kamalanathan turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid atas tindakan pantas beliau dalam mengekalkan dasar pengambilan tersebut.

Iklan