APM kenal pasti 124 kawasan sering dilanda banjir

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

MELAKA - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka mengenal pasti 124 kawasan yang sering dilanda banjir sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang bermula pada November ini hingga Mac tahun depan.

Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, daripada jumlah itu, ia membabitkan 59 kawasan di daerah Melaka Tengah, Jasin (42 kawasan) dan Alor Gajah (23 kawasan).

Iklan
Iklan

"Kita telah bersiap sedia dari aspek keanggotaan dan logistik untuk menghadapi banjir di Melaka ekoran berlakunya hujan lebat susulan Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku pada November ini walaupun APM terlibat dalam penugasan Covid-19.

"Selain lokasi tersebut kita juga bersiap sedia sekiranya berlaku banjir di kawasan yang tidak berlaku banjir dan di luar jangkaan kita," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin

Iklan

Beliau berkata, seramai 230 anggota tetap dan sukarelawan akan terlibat dalam penugasan menghadapi musim banjir di Melaka, dan apabila diperlukan pihaknya akan menggerakkan 43 aset milik jabatan itu yang terdiri daripada 18 bot, lori (lima), ambulans (sembilan), kenderaan pacuan empat roda (enam) van (empat) dan sebuah jet ski.

Cuthbert berkata, setakat ini anggota terlibat akan memantau kenaikan paras air khususnya di kawasan berhampiran sungai dari semasa ke semasa agar kerja-kerja menyelamat dapat dilakukan mengikut keperluan. - Bernama

Iklan