SHAH ALAM - Penduduk di Petaling Jaya yang menamakan kumpulan mereka sebagai kumpulan 'Say No to PJD Link' terus memberikan tekanan terhadap kerajaan Selangor berhubung projek lebuh raya kontroversi, PJ Dispersal Link (PJD Link).
Mereka turut membantah tindakan kerajaan negeri menyahwartakan sebahagian hutan simpan di Selangor untuk tujuan pembangunan dan mendakwa Pakatan Harapan (PH) gagal menunjukkan ketelusan dan tatakelola yang baik dalam dua isu tersebut.
Kumpulan itu menerusi satu kenyataan memaklumkan, dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, gabungan parti politik itu berjanji untuk mentadbir berdasarkan prinsip-prinsip kelestarian dan pembangunan lestari.
"Disebabkab PH sudah berjanji dalam manifestonya, semua pembangunan projek mesti mematuhi standard perlindungan alam sekitar antarabangsa sebelum memberikan kelulusan.
"Kini kerajaan PH Selangor bertanggungjawab untuk jelaskan kepada rakyat apakah asas dilihat kerajaan ketika memilih Gabungan Indah Sdn Bhd untuk membangunkan kawasan yang dinyahwartakan dari HSKLU,” kata kumpulan tersebut dalam kenyataan pada Isnin.
HSKLU atau Hutan Simpan Kuala Langat Utara kini hebat diperdebatkan dan ia diwartakan sebagai hutan simpan pada 1927 yang meliputi lebih 7,000 hektar tanah, namun kini hanya 13 peratus sahaja daripada kawasan tersebut kekal sebagai hutan simpan.
Dalam pada itu, kumpulan itu turut mengecam kerajaan Selangor berhubung projek PJD Link yang dilihat mirip dengan projek Kidex, sebuah projek yang dibatalkan kerajaan Selangor pada tahun 2015 yang ketika itu diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar selepas didesak penduduk kawasan yang terlibat.
"Hakikat bahawa kerajaan negeri sanggup untuk pertimbang projek yang sama seperti Kidex yang dibatalkan pentadbiran sebelum ini adalah satu hal yang membimbangkan.
"Ini mungkin bermaksud sebarang pemaju yang ditolak cadangannya oleh kerajaan negeri boleh pakejkan cadangan itu semula dalam bentuk baharu dan berharap akhirnya ia akan diluluskan.
"Kalau begitu, ia adalah satu pembaziran sumber awam dan boleh melahirkan kebimbangan oleh penduduk negeri ini," kata mereka.
Kumpulan itu juga turut mengingatkan kerajaan PH Selangor mengenai janji PRU mereka sebelum ini untuk kekal komited dengan pengangkutan awam yang lestari.
"Kami kesal dengan kerajaan Selangor yang bukan sahaja gagal untuk memberikan pelan pengangkutan awam yang komprehensif bagi negeri ini, namun sebaliknya menyanggahi manifestonya sendiri dengan ‘secara dasarnya’ meluluskan lebuh raya tersebut yang memisahkan perbandaran yang matang dan meningkatkan kerosakan alam sekitar.
"Ia adalah lebuh raya yang penduduk Petaling Jaya tidak mahu, (ia) jelas dan mudah,” kata mereka.
Mereka sehubungan itu menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk menarik semula penyahwartaan HSKLU dan membatalkan projek PJD Link.
"Pendek kata, kerajaan negeri Selangor telah gagal menunjukkan ketelusan dan akauntabiliti dalam isu HSKLU dan PJD Link, kerana keputusan telah dibuat tanpa penglibatan dan perundingan dengan masyarakat.
"Oleh itu, kami menuntut agar menteri besar dan kerajaan negeri mengisytiharkan pembatalan penyahwartaan HSKLU dan pembatalan lebuh raya PJD Link secara rasmi.
"Selagi ia tidak selesai dan secara rasmi dicatat dalam minit mesyuarat kerajaan negeri, rakyat Selangor akan teruskan protes terhadap dua pelan tersebut,” kata mereka.