Nyah warta HSKLU terima 45,423 bantahan

Iklan
Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Kerajaan negeri digesa mengemukakan laporan teknikal Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) kerana keputusan penyahwartaan hutan itu melibatkan kepentingan awam, risiko kesihatan dan iklim kepada rakyat Selangor.

Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) dalam satu kenyataan berkata, kehendak rakyat perlu dihormati dengan kerajaan negeri perlu menarik semula keputusan penyahwartaan HSKLU itu.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, penyahwartaan HSKLU telah menerima sebanyak 45,423 bantahan selain 130,000 tandatangan menerusi petisyen dan hampir 1,500 e-mel yang dihantar kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"56 ADUN Selangor daripada parti politik berbeza telah sebulat suara menyokong usul bagi melindungi semua hutan simpan di Selangor pada November lalu, termasuklah Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor. Beberapa ahli Parlimen juga telah menyuarakan bantahan mereka.

Iklan

"Namun, kerajaan Selangor masih berkeras untuk menyahwartakan hutan simpan ini dan menyerahkan tanah tersebut kepada pemaju hartanah swasta untuk pembangunan komersial campuran. Apakah sebab mendorong kerajaan negeri mengabaikan pendapat umum," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah kenyataan itu, kerajaan negeri perlu memahami dan menegakkan hak tanah adat masyarakat orang asli suku Temuan yang tinggal di sekitar HSKLU.

Iklan

"Bagaimana keputusan penyahwartaan HSKLU dibuat perlu diterangkan kerana mencurigakan dan mengapa dirahsiakan selama tiga bulan. Adakah terdapat anasir luar yang terlibat dalam keputusan ini?

"Kami mengingatkan kerajaan negeri bahawa setiap tindakan harus dilakukan demi kepentingan rakyat dengan mengimbangkan keperluan pembangunan ekonomi dan perlindungan alam sekitar. Tugas ini seharusnya dijalankan dengan telus," katanya.

Kata kenyataan itu lagi, komuniti yang bergantung kepada sumber hutan tidak harus diketepikan demi menjaga kepentingan golongan atasan.

Tambah kenyataan itu, pembangunan ekonomi perlu membawa kebaikan bagi semua pihak, bukannya membawa keuntungan dan faedah kepada pemodal serta pemilik aset semata-mata.

"Agensi teknikal perlu diberikan kebebasan untuk memastikan usaha wajar (due diligence) dilakukan tanpa rasa takut atau memihak kepada mana-mana entiti.

"Dengan budaya korupsi dan rasuah yang berleluasa di Malaysia. Kita perlu memastikan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab untuk membanteras rasuah dan mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap kerajaan," kata kenyataan itu.

End