PENULIS percaya ramai yang boleh jangka apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengeluarkan kenyataan menyeru rakyat dan seluruh Keluarga Malaysia bersedia untuk hidup bersama Covid-19 dalam transisi fasa endemik pada hujung Oktober ini.
Jika pada Mac tahun lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan situasi penularan Covid-19 sebagai pandemik, kini selepas hampir 2 tahun masyarakat dunia ‘bergelumang’ dengannya, tidak ada tanda-tanda ia akan berakhir dan lenyap.
Dari varian Alpha, Beta, Gamma, Delta dan Lambda, kini mahu atau tidak kita perlu membuat persediaan untuk memasuki fasa endemik yang memerlukan kita melakukan perubahan tingkah laku dalam norma baharu.
Malah, kebanyakan negara sekarang ini sudah beralih kepada fasa endemik di mana satu norma baharu yang diperkenalkan untuk kita hidup secara sihat dan selamat walaupun virus ini masih lagi berada dalam kalangan kita.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludidin Abu Bakar berkata, Malaysia dijangka memasuki fasa tersebut selepas 80 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima dua dos vaksin.
"Kita akan terima hakikat bahawa sekali pun kita berjaya mengawal pandemik ini dari segi kes jangkitan, kes kematian, kes kemasukan ke hospital, kita juga perlu bersedia menerima hakikat bahawa Covid-19 akan menjadi endemik dan kita hidup bersama dengan virus ini,” katanya.
Untuk itu, Khairy berkata, kerajaan akan mengumumkan langkah memudahkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada sebagai persediaan menghadapi fasa endemik.
Dalam pematuhan SOP lebih-lebih lagi apabila semakin banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat, kerajaan atau agensi penguatkuasaan yang terlibat tidak seharusnya dipertanggungjawabkan sepenuhnya.
Kehidupan baharu
Fasa endemik akan membawa negara kita ke satu ‘kehidupan baharu᾿ di mana penularan kes-kes Covid-19 akan sentiasa wujud di dalam masyarakat.
‘Hidup bersama Covid-19’ ini memerlukan semua orang memainkan peranan lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan sendiri dan juga mereka di sekeliling.
Untuk melihat kes positif kembali ke angka 0 agak mustahil. Apatah lagi di fasa endemik itu nanti akan memungkinkan lebih banyak sektor dibuka kembali.
Sangat penting untuk kita ambil tanggungjawab kendiri terutama seandainya kita didapati bergejala dan wajib kuarantin di rumah.
Kalau tidak dapat patuh segala syarat untuk kuarantin di rumah dan kawalan kendiri, kita tidak akan dapat hidup bersama virus ini dengan selamat.
Dengan kit ujian kendiri Covid-19 yang boleh diperoleh mudah dengan harga yang sudah dikawal kerajaan sudah pasti kita tiada masalah untuk menguji diri sendiri secara berkala.
Selagi Covid-19 itu wujud, kit ujian kendiri, pelitup muka, cecair pembasmi kuman akan menjadi barangan keperluan kita.
Bagaimanapun, sebelum kita memasuki fasa endemik ini, rakyat juga seharusnya dilengkapi dengan maklumat yang jelas.
Bagaimana untuk mengimbangi antara mahu hidup selamat di tengah jumlah kes positif yang masih beribu sehari dan hidup dengan satu SOP baharu yang lebih longgar daripada sebelumnya.
Penyampaian maklumat dan strategi komunikasi yang efektif harus bermula dari sekarang untuk membolehkan semua pihak bersedia memasuki fasa tersebut.
Bukan hanya kerajaan yang perlu merancang, tetapi rakyat juga harus merencanakan frasa kehidupan baharu mereka terutama dalam bidang pekerjaan, pendidikan anak-anak. Penulis percaya ia bukan mudah.
Walau apapun, perubahan ke fasa endemik memungkinkan harapan semua daripada kita untuk pulang ke kampung halaman atau melancong akan menjadi realiti.
Pandemik atau endemik, satu perkara yang tidak boleh kita abaikan adalah SOP! Nak tak nak kita kena terima hakikat virus ini sebahagian daripada hidup kita.
Lalai sedikit dalam menjaga SOP seharian, sekelip mata ‘dia᾿ boleh menerjah tanpa belas kasihan.
* Wan Nor Rosida Wan Hamad ialah Web Editor Sinar Harian