SHAH ALAM - Meskipun kerajaan telah memberi kelonggaran untuk makan di kedai, namun sebanyak 63.2 peratus rakyat di negara ini masih belum bersedia untuk melakukan perkara tersebut.
Sementara itu, sebanyak 33.6 peratus telahpun makan di kedai dan 36.8 peratus merancang untuk makan di kedai pada minggu akan datang.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI, sebanyak 59.3 peratus responden yang tidak merancang makan di gerai khuatir dengan kes harian yang dilaporkan begitu tinggi.
"57.9 peratus pula masih merasakan tidak selamat untuk makan di kedai walaupun patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat manakala 33 peratus menyatakan bahawa tiada beza antara makan di kedai dan bungkus.
"Sebanyak 27.8 peratus daripada responden masih belum menerima dua dos suntikan vaksin menyebabkan mereka tidak merancang untuk makan di kedai. 12 peratus lagi mengatakan makan di kedai akan meningkatkan tekanan mental mereka,” kata UCSI pada Isnin.
Kajian selidik tersebut telah dijalankan ke atas 1,044 responden.
Selain itu, bagi mereka yang merancang untuk makan di kedai pula, sebanyak 56.7 peratus berasa selamat apabila mematuhi SOP yang ketat.
Tambah UCSI, 48.4 peratus responden telah menerima dua dos suntikan dan 47.9 peratus pula rindu suasana makan di luar menyebabkan mereka ingin makan di kedai.
"32.2 peratus pula tidak khuatir akan kes harian yang tinggi dan 23.6 peratus mengatakan makan di luar boleh mengurangkan tekanan mental mereka,” ujarnya.
Menurut UCSI, keputusan kaji selidik itu menunjukkan tiada perubahan besar dalam kesediaan orang awam untuk makan di kedai pada masa terdekat dan mereka yang telah pun makan di luar ini mungkin akan lebih kerap melakukannya.
Secara konklusi, jelasnya, orang awam merasa tidak selamat makan di kedai walaupun dengan mematuhi SOP yang ketat memandangkan laporan kes harian Covid-19 yang masih tinggi.
"Populasi yang telah divaksin adalah kunci utama untuk mencapai imuniti kelompok namun orang awam mungkin akan kembali yakin untuk aktiviti ekonomi terutamanya makan di kedai selepas kes harian Covid-19 berkurangan,” katanya.