PEMAIN tengah United, Donny van de Beek mengakui pemain Liverpool Virgil van Dijk adalah pertahanan terbaik dunia ketika ini.
Menurut van de Beek, rakan senegaranya itu memberikan impak cukup besar ketika mengemudi benteng pertahanan Liverpool dan pasukan kebangsaan Belanda.
Van Dijk terlepas aksi Euro 2020 pada musim panas lalu ekoran kecederaan, namun van de Beek percaya tonggak pertahanan tersebut sukar dicabar dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
"Ya, dia sangat penting kepada pasukan dan dia ketika ini adalah pemain terabik dunia di posisi pertahanan. Seluruh pasukan kebangsaan merinduinya pada Euro lalu. Saya gembira untuknya kerana dia sudah kembali beraksi. Saya tahu dia bekerja keras.
"Tidak mudah untuk kembali bermain dengan kecederaan yang teruk. Tetapi, dia nampak sudah pulih sepenuhnya dan tidak menghadapi sebarang masalah," katanya ketika bercakap dalam rancangan YouTube bekas pertahanan United, Rio Ferdinand.
Apa yang diperkatakan oleh van de Beek itu juga diakui oleh Ferdinand dengan menegaskan van Dijk adalah pemain pertahanan yang perlu digeruni oleh semua pasukan.
"Apabila dia sudah cergas dan melihatkan prestasinya beberapa tahun lepas, sudah semestinya van Dijk merupakan pemain yang berkualiti. Dia memberikan impak besar kepada pasukan terutama di pertahanan tengah sejak tiga tahun lalu.
"Saya rasa apa dipamerkan oleh van Dijk adalah konsisten dan semangatnya untuk menang. Raphael Varane (pertahanan United) tiada tandingannya bersama Sergio Ramos (pertahanan Paris Saint Germain) dalam soal meraih kemenangan, tetapi Van Dijk dalam penampilannya selama tiga tahun terakhir, dia sangat hebat.
"Ruben Dias (pertahanan City) juga hebat tetapi dia hanya bermain musim lalu. Saya bercakap mengenai tahap konsisten selama beberapa tahun," katanya.