SEREMBAN - Seramai 11 pengerusi dan setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Rantau sebulat suara menolak Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram sebagai calon PRK DUN Rantau.
Mereka mendakwa, PH hanya memilih untuk kalah lebih awal jika pakar bius itu yang bukan anak jati DUN berkenaan tetap dipilih.
Pengerusi MPKK Kuala Sawah, Abdul Ghani Md Yusop berkata, penting untuk kerajaan negeri mendengar suara mereka yang juga mewakili suara penduduk di peringkat akar umbi.
"Saya sendiri ada tanya dengan penduduk di kawasan saya dan ramai tidak bersetuju jika Streram dipilih sebagai calon.
"Penolakan Streram sebagai calon bukan bermakna kami menentang kepimpinan, tapi sebagai MPKK, kami ada hak untuk bersuara dan beri pandangan demi pastikan kemenangan PH di Rantau," katanya pada sidang di Rantau hari ini.
Lain pula Setiausaha MPKK Sendayan, Osman Mohd Ramli yang tanpa berselindung memberitahu tidak akan mengundi Streram pada pilihan raya nanti.
Katanya, ia sebagai isyarat jelas kepada kepimpinan PH bahawa mereka bukan sekadar bercakap kosong untuk menolak Streram.
"Saya sendiri tidak akan sokong dan undi Streram jika dia dipilih sebagai calon. Malah tidak akan gerakkan jentera bawah MPKK kawasan saya untuk membantu beliau.
"Nak boikot PRK dengan tak keluar mengundi tak boleh kerana rugi tak mengundi. Tapi, saya akan pilih Datuk Seri Mohamad Hasan," katanya.
Pengerusi MPKK Kampung Sega Hulu, Abdul Hafiz Mohd Ali pula menyatakan kebimbangan yang pengundi khususnya atas pagar akan beralih kepada BN jika Streram yang dipilih.
Katanya, mereka mahukan calon tempatan dan menyokong jika Saparin Musa yang merupakan AJK Cabang Rembau dipilih.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan bantahan Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya DUN Rantau terhadap Streram.
Penolakan Streram sebagai calon atas beberapa faktor antaranya bukan anak jati DUN Rantau dan turut menyatakan sokongan Saparin Musa dipilih sebagai calon.