SHAH ALAM – Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) mengumumkan tiga pelanggannya yang memenangi kategori hadiah utama dalam Grand Finale Peraduan Mudah Menang dengan masing-masing menerima wang tunai RM33,333 dan 100,000 ePoint.
Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Leslie Ng berkata, peraduan itu diadakan sebagai strategi pemasaran untuk memberikan kesedaran kepada pelanggan mengenai produk petroleum dan kemudahan perkhidmatan peruncitan yang ditawarkan di 400 stesen BHPetrol di seluruh negara.
"BHPetrol menganjurkan pelbagai program dan peraduan pemasaran untuk menghargai pelanggan yang sentiasa memberikan sokongan serta kesetiaan mereka kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Selain pemenang utama, BHPetrol turut mengumumkan tiga pelanggan yang memenangi hadiah kategori hadiah khas dengan mengumpulkan wang tunai RM3,333 dan memperolehi 30,000 ePoints.
"BHPetrol juga menyampaikan hadiah bulanan seperti Apple iPhone 12 64GB dan satu Apple iPad Gen 8 kepada dua pemenang serta hadiah mingguan 100,000 ePoints kepada tiga pemenang untuk setiap minggu.
"Secara keseluruhannya, seramai 51 pemenang dalam Peraduan Mudah Menang dan kesemua pemenang diumumkan dalam satu program yang diadakan secara maya baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata, untuk menyertai peraduan itu, pelanggan BHPetrol hanya perlu membeli produk petrol atau diesel di mana-mana stesen servis BHPetrol atau barangan dari kedai BHPetromart yang mengambil bahagian selama tempoh peraduan.
"Setiap pembelian mesti disertakan dengan eCard berdaftar yang sah atau diimbas dengan aplikasi mudah alih eCard dan perbelanjaan terkumpul berjumlah RM30 berhak mendapat satu penyertaan,” katanya.
Pemenang hadiah utama peraduan itu menjadi milik Mustaqim Ibrahim dari Serendah, Selangor, Pang Jik Ing dari Ayer Tawar, Perak dan Pua Shiau Lin dari Petaling Jaya, Selangor.
Sementara itu, pemenang bagi kategori hadiah khas pula ialah Chin Yee Wah dari Bukit Tengah, Pulau Pinang, Kumaran Kuppusamy dari Banting, Selangor dan Mohd Siraz Rameli dari Shah Alam, Selangor.