Undi 18: SPR diarah laksana keputusan mahkamah

Iklan
SPR diarahkan untuk melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berhubung pelaksanaan undi 18 tahun.

PUTRAJAYA- [DIKEMASKINI] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah diarahkan untuk melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berhubung pelaksanaan undi 18 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada SPR dalam perbincangan lebih dua jam pada Selasa.

Iklan
Iklan

"Arahan mahkamah adalah sepatutnya undang-undang yang perlu diterima dan dijaga," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat SPR di sini pada Selasa.

Menurutnya, keputusan mahkamah itu tidak menunjukkan kerajaan kalah sebaliknya tempoh masa untuk pelaksanaan undi 18 dipendekkan daripada 2023 kepada 31 Disember ini.

Iklan

"Kerajaan dan (keputusan) mahkamah adalah bersama," katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak bercadang untuk merayu terhadap keputusan mahkamah tersebut.

Iklan

Jumaat lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew How Wai membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

SPR dan kerajaan diperintah untuk melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember ini.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, seramai 5.6 juta rakyat yang layak tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi termasuk individu berusia 18 tahun.

"Ia merangkumi 1.19 juta orang berusia 18 hingga 20 tahun dan 4.41 juta individu berusia 21 tahun ke atas," katanya.

Ujarnya, beliau akan mengadakan sesi libat urus dengan kerajaan negeri agar membuat pindaan terhadap undang-undang tubuh kerajaan negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun bertanding sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kita ada lima lagi negeri yang tidak membuat pindaan dan negeri-negeri ini masih tidak bersetuju usia 18 tahun menjadi calon DUN," katanya.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, Sarawak telah membuat pindaan terhadap undang-undang negeri itu.

"Sarawak sudah tetapi belum digazetkan kerana mahu lihat apa yang berlaku seluruh negara," katanya.