Bekas pengarah syarikat didenda RM35,000

Iklan
Norehan didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa atas pertuduhan memalsukan dokumen membekalkan dakwat bernilai RM57,600 empat tahun lalu.

SHAH ALAM - Seorang bekas pengarah syarikat pembekalan didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan memalsukan dokumen membekalkan dakwat bernilai RM57,600 empat tahun lalu.

Norehan Mat Yusof, 43, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Sebelum menjatuhi hukuman, Rozilah menasihati tertuduh agar hukuman itu kelak akan menimbulkan keinsafan dan tidak mengulangi kesilapan sama pada masa depan.

Iklan

"Jadikannya sebagai iktibar, puan ada anak kan, harap anak-anak tidak terlibat dalam jenayah," katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curang menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu invois bagi pembekalan barang habis pesanan kerajaan berjumlah RM93,685.30 kepada seorang pegawai kewangan Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pulau Indah yang berpangkat Leftenan Komander.

Iklan

Ia mengandungi pernyataan palsu mengenai pembekalan dan penghantaran barang pakai habis untuk pusat cetakan PHN TLDN yang mana barang-barang yang dinyatakan itu tidak dibekalkan dan diketahui sebagai suatu dokumen palsu.

Kesalahan dilakukan di PHN TLDM, Pulau Indah pada 28 September 2017.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Semasa prosiding, peguam, Sharen Rosli yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman minimum.

"Beliau telah berhenti kerja di syarikat tersebut sebaik kontraknya tamat pada Januari 2019 lalu dan kini bekerja sebagai jurujual.

"Anak guam saya juga mempunyai tujuh anak termasuk anak angkat berusia tujuh hingga 22 tahun yang mana dua daripadanya masih menuntut di universiti," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noryusriza Zulkifli menegaskan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius dan menyebabkan kerugian kepada kerajaan.

"Wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan negara," katanya.