22 pimpinan UMNO-Pas anggotai Jawatankuasa Perundingan

Iklan
ANNUAR
SHAH ALAM - Seramai 22 pimpinan parti bakal menganggotai Jawatankuasa Perundingan antara UMNO dan Pas.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia melibatkan 11 pemimpin parti itu dan selebihnya daripada Pas.

"Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mempengerusikan jawatankuasa ini dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengetuainya di peringkat Pas.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas, UMNO guna satu logo dalam PRU15?

"Saya telah menerima surat daripada Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan untuk menubuhkan jawatankuasa itu dan kita akan mengadakan mesyuarat pada Selasa ini di pejabat BN," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Semalam, Takiyuddin ketika ditanya adakah UMNO-Pas akan menggunakan satu logo pada PRU15 berkata, ia adalah perancangan kedua-dua parti dan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Perundingan UMNO-Pas.

Ketika diminta mengulas perkara tersebut, Annuar berkata, ia masih terlalu awal untuk diulas beliau dan berharap mana-mana pihak tidak membuat sebarang spekulasi.

Sebelum ini, Mohamad Hasan berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan satu perundingan di peringkat pusat.

Jelasnya, dua parti orang Melayu UMNO dan Pas perlu menjalinkan kerjasama secara formal untuk memastikan agenda penyatuan ummah dapat dijayakan.