IPOH - Sebanyak 12 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini mula dibuka untuk vaksinasi Covid-19 secara 'walk-in' atau jumpa terus.
Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin memaklumkan, PPV yang terlibat adalah Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River; Dewan Millenium Lubok Merbau, Kuala Kangsar; Dewan Majlis Perbandaran, Sungai Siput dan Dewan Mohamed Jamrah, Sungai Sumun, Bagan Datuk.
Menurutnya, PPV lain adalah Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Taiping; Dewan Permai, Selama; Stadium Indera Mulia, Ipoh; Dewan Bandaran Kinta, Batu Gajah dan Dewan Bandaran Teluk Intan.
Selain itu, katanya, PPV Dewan Bandaran Pengkalan Hulu, Dewan Serbaguna Gerik dan Dewan Merdeka Lenggong telah dibuka pada hari Selasa.
"Kesemua PPV terbabit mula menerima penduduk berusia 18 tahun ke atas secara 'walk-in' kecuali Stadium Indera Mulia di sini dan Dewan Bandaran Kinta, Batu Gajah yang melibatkan penduduk berusia 40 tahun ke atas.
"PPV terlibat mula beroperasi pada jam 8 pagi dan 10 pagi dengan menerima antara 200 hingga 300 individu setiap hari," katanya menerusi hantaran Facebook beliau di sini pada Selasa.
Mohd Akmal berkata, senarai PPV secara 'walk-in' itu perlu dihebahkan khas untuk penduduk setempat.