Johor harap Sukma diteruskan tahun depan

Iklan
Onn Hafiz

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri berharap Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 yang dibatalkan akibat Covid-19 akan diteruskan penganjurannya pada tahun hadapan.

Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Jawatankuasa Tertinggi Sukma dijangka membuat keputusan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

"Johor bersedia menjadi tuan rumah Sukma pada tahun hadapan, selepas dua kali ditangguhkan sebelum ini akibat Covid-19.

"Semua lokasi acara dan venue Sukma di Johor sudah siap. Malah kerajaan negeri memperuntukan RM4.2 juta bagi menyelenggara kemudahan dan venue di negeri ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Md Ysahrudin Kusni (Bukit Naning-PKR) pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini pada Selasa.

Pandemik Covid-19 menyaksikan Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma 2020 yang dijadualkan berlangsung di Johor pada 2021 terpaksa dibatalkan.

Iklan

Perkara tersebut diumumkan Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada November tahun lalu.

Menurut beliau, pembatalan tersebut dibuat selepas kerajaan negeri Johor memohon supaya Sukma dan Para Sukma yang masing-masing dijadualkan tahun ini pada 6 hingga 14 Mac serta 5 hingga 10 April dibatalkan atas pelbagai sebab.