IPOH - Gabungan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa supaya tindakan diambil terhadap pegawai polis yang menyiasat kes pengawal keselamatan maut selepas beberapa bulan terlantar akibat diserang penyewa sebuah kondominium di sini.
Gesaan itu dibuat oleh Persatuan MIAForce, Persatuan Pemas, Persatuan F.I.R.E dan Ottrumai Naam Balam Youth menerusi laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada Selasa.
Presiden Persatuan MIAForce, S Dayalan berkata, pihaknya mengesyaki terdapat elemen rasuah terhadap siasatan kes yang pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan.
"Kes ini mempunyai banyak bukti kukuh yang tidak sepatutnya disiasat di bawah seksyen berkenaan kerana hukumannya ringan. Sepatutnya disiasat di bawah Seksyen 326 atau 307 Kanun Keseksaan pada awalnya.
"Selain itu, kami mahu suspek berkenaan diberkas secepat mungkin kenapa perlu ditangguhkan lagi berikutan mangsa sudah meninggal dunia 10 hari lalu," katanya pada sidang akhbar di sini.
Menurutnya, tujuan laporan itu dibuat bagi membolehkan pegawai berkenaan disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).