KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan mempertimbang untuk meneruskan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (WBB) yang dijangka tamat Disember ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, WBB banyak membantu dan mempermudah peniaga menjana pendapatan ketika pandemik Covid-19.
Menurutnya, inisiatif tersebut akan diteruskan seperti biasa hingga Disember ini dan keputusan sama ada untuk meneruskan atau menamatkan program itu akan diumumkan kemudian.
"Saya akan umumkan apabila sampai masanya tetapi buat masa ini, program itu diteruskan. Pertukaran kerajaan tidak akan menukar polisi yang baik.
"Namun, akan ada penambahbaikan yang akan dimaklumkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dari semasa ke semasa," katanya mengulas berhubung status WBB yang dijadual berakhir Disember ini.
Beliau ditemui pada sesi penyerahan bantuan Bakul Makanan MyFood@Wilayah kepada penduduk di Taman Desa, di sini.
Idea WBB dicetuskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pada 15 November lalu bagi membantu warga kota berniaga secara kecil-kecilan di lokasi sesuai secara percuma ketika pandemik.