Tindakan kolektif wujudkan persekitaran bersih rasuah

Iklan
Shakila Yacob

SHAH ALAM - Tindakan kolektif wajar dilaksanakan oleh kerajaan, persatuan sivil, media, golongan intelektual dan parti politik bagi mewujudkan persekitaran yang bersih rasuah.

Pengarah Eksekutif Institut Antarabangsa (INPUMA), Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Shakila Yacob berkata, kerajaan perlu meletakkan penanda aras terhadap kejayaan negara luar dalam menentang salahguna kuasa dan penyelewengan seperti Norway, New Zealand, Sweden, Finland dan lain-lain.

Iklan
Iklan

"Setiap kali seorang pemimpin salah langkah atau membuat keputusan yang memudaratkan negara dan disyaki mengamalkan rasuah serta salah guna kedudukan rakyat harus bangun membantah dan menekan pemimpin tersebut untuk bertanggungjawab serta meletak jawatan.

"Pemimpin harus membuktikan sikap integriti yang tinggi dan amanah. Pemimpin yang lemah urus tadbir harus dibuang segera oleh kerajaan atau rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Shakila berkata, amalan kakistokrasi dan nepotisme antara punca kepada meningkatnya kes rasuah dan ketidakcekapan dalam negara ini.

Kata beliau, ia merupakan satu budaya yang mengetepikan nilai integriti serta individu yang berkebolehan, jujur dan berprinsip dilihat sebagai ancaman.

Iklan

"Kita tidak berpegang kepada meritokrasi sebaliknya kakistokrasi di mana siapa yang pandai membodek dia lah ke hadapan atau siapa yang pandai menghulur dia dipilih.

"Ini juga berkait dengan nepotisme iaitu budaya pelantikan dalam kalangan ahli keluarga serta kronisme, pelantikan dalam kalangan siapa yang kita kenal dan budaya mengutamakan rakan-rakan.

"Amalan sebegini harus dihapuskan sekiranya ingin mewujudkan negara maju sifar rasuah,” ujarnya.