TNB bangun loji hidroelektrik 300 megawatt di Kelantan

Iklan
Gambar hiasan. - Foto Bernama

SUBSIDIARI milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB), TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), telah menerima surat pemberitahuan dari Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk membangunkan loji tenaga hidroelektrik 300 megawatt (MW) di Kelantan.

TNB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa mengumumkan surat pemberitahuan tersebut meminta TNB Genco untuk memenuhi syarat-syarat tertentu sebelum pelaksanaan projek.

Iklan
Iklan

"Seperti yang disyaratkan kerajaan, TNB Genco telah memperbadankan sebuah syarikat projek milik penuh bernama TNBPG Hydro Nenggiri Sdn Bhd bagi melaksanakan projek itu. Kerja-kerja pembinaan projek ini dianggarkan mengambil masa lima tahun dan jangkaan jangka masa operasi komersialnya adalah menjelang 1 Jun 2027," katanya.

Projek berkenaan akan meningkatkan bahagian pasaran penjanaannya, terutamanya daripada hidro, dan meningkatkan kecekapan keseluruhan portfolio aset penjanaannya termasuk tenaga boleh diperbaharui.

Iklan

Projek ini juga akan meningkatkan keselamatan tenaga untuk negara dan membawa kesan sosio-ekonomi yang positif bagi Malaysia, Kelantan serta masyarakat tempatan.

"Ia juga akan memberi faedah tambahan kepada Kelantan daripada segi mitigasi banjir, bekalan air bersih dan air mentah untuk pengairan,” katanya.

Iklan

Katanya lagi, projek berkenaan akan memperkukuhkan keselamatan bekalan tenaga di Semenanjung Malaysia, khususnya ke wilayah timur, memastikan lebih jauh kemampuan penyedia utiliti untuk memainkan peranannya dalam menyeimbangkan opsyen tenaga kepada negara. - Bernama