PUTRAJAYA - Pengusaha perkhidmatan dobi di Semenanjung Malaysia dan Sabah yang menggunakan sistem gas berpaip terutamanya Gas Petroleum Cecair (LPG) untuk mesin pengering dan pemanas air di kedai dobi perlu mendapatkan kelulusan dan lesen gas yang sah daripada Suruhanjaya Tenaga (ST).
ST dalam kenyataan pada Selasa berkata, kelulusan itu bagi memastikan reka bentuk sistem gas berpaip di premis berkenaan dipasang mengikut piawaian yang ditetapkan serta dapat dikendalikan dengan selamat.
Suruhanjaya itu berkata, pengusaha dobi juga dikehendaki untuk menampal kelulusan dan lesen gas yang sah di premis masing-masing, sama seperti menampal lesen perniagaan.
"Pengusaha dobi perlu memperbaharui lesen gas setiap tahun, membuat servis dan penyenggaraan setiap dua tahun oleh kontraktor gas atau orang kompeten yang berdaftar dengan ST, dan memastikan pemeriksaan berkala.
"Pengusaha dobi mesti melakukan pembaikan segera jika ada kebocoran gas, kelengkapan dan perkakas gas tidak berf,ungsi serta lain-lain perkara yang boleh mendatangkan bahaya kepada sistem gas berpaip di kedai dobi oleh kontraktor gas atau orang kompeten yang berdaftar dengan ST," katanya.
Menurut ST dalam satu kes yang melibatkan letupan gas di premis dobi di Taiping, Perak pada Mei lepas, seorang pengguna tercedera, dan siasatan awal mendapati premis dobi itu beroperasi tanpa kelulusan dan lesen sah daripada pihak ST.
Suruhanjaya itu berkata, kegagalan dan keingkaran mendapatkan kelulusan dan lesen gas dari pihaknya adalah melanggar Akta Bekalan Gas 1993 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 1997.
Kegagalan mematuhi Subseksyen 11(1) Akta Bekalan Gas 1993 boleh menyebabkan pengusaha dobi didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
"Mana-mana sistem paip atau bahagiannya yang digunakan atau dicadangkan hendak digunakan dalam melakukan kesalahan itu juga boleh dilucuthak,” katanya.
ST turut menyarankan pihak berkuasa tempatan untuk merujuk kelulusan dan lesen gas yang sah daripada pihak ST sebelum mengeluarkan lesen perniagaan kepada premis pengusaha dobi. - Bernama