PUTRAJAYA - Skim visa pertanian yang dilaksanakan di Australia, Skim Visa Pekerja Sektor Perladangan adalah antara yang menarik perhatian Malaysia untuk kajian amalan baik.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam satu kernyataan berkata, skim itu menjadi antara topik perbincangan antara Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr M.Saravanan yang menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Dr Justin Lee di pejabatnya di sini pada Selasa.
Skim berkenaan memberi peluang pekerjaan kepada migran dalam sektor pertanian berikutan ketiadaan sambutan daripada pekerja tempatan di Australia.
"Perkara yang sama turut berlaku di Malaysia dalam sektor perladangan, dan kerajaan sedang mengkaji amalan baik dari pelbagai negara termasuk Australia," kata KSM dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena pertemuan Saravanan dan Justin itu.
KSM berkata, pertemuan itu turut membincangkan peluang kerjasama strategik antara Malaysia dan Australia dalam pembangunan sumber manusia dan modal insan yang menyentuh mengenai aspek Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pembangunan kemahiran melalui peningkatan kemahiran dan latihan kemahiran semula.
Perbincangan turut menyentuh berhubung cadangan kerjasama untuk meningkatkan imej negara dalam menangani aspek buruh paksa dimana KSM merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Pemerdagangan Buruh di bawah Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO).
"Pihak Australia turut menyuarakan hasrat untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia dalam sektor industri berteknologi tinggi seperti sektor tenaga diperbaharui, susulan kepakaran dan kemahiran tempatan di bidang-bidang yang berkaitan dengan teknologi tinggi amat diperlukan," kata KSM. - Bernama