Sarawak United tewas 0-1 kepada Kuching

Iklan

SARAWAK United gagal melebarkan jurang di persada Liga Premier, apabila dikejutkan dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Kuching City FC di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) pada Selasa.

Babak pertama menyaksikan perlawanan petang tadi banyak dikuasai Sarawak United dengan serangan bertali arus, namun jentera depan yang diketuai Sandro Da Silva bersama Norshahrul Idlan Talaha gagal menewaskan penjaga gol Kuching City, Mohd Iqbal Suhimi.

Iklan
Iklan

Kembali selepas rehat, kedua-dua pasukan mengasak untuk mencari gol, namun Kuching City di bawah bimbingan Irfan Bakti Abu Salim, memecah kebuntuan pada minit ke-84 menerusi jaringan Mohamad Alif Hassan.

Anak-anak buah E. Elavarasan cuba bangkit memburu gol penyamaan, tetapi ketangkasan Iqbal Suhimi menggagalkan usaha pelawat mencari sekurang-kurangnya satu mata.

Iklan

Keputusan itu menyebabkan Sarawak United menunggu lebih lama dan menempah laluan yang berisiko untuk kejuaraan Liga Premier apabila bakal berdepan dengan pencabar kejuaraan, Negeri Sembilan dalam aksi seterusnya pada Jumaat ini (10 Sept) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Dengan berbaki dua perlawanan bagi musim ini, Sarawak United menduduki tempat teratas carta dengan 37 mata selepas 18 perlawanan setakat ini, kelebihan dua mata berbanding Negeri Sembilan (35 mata).

Iklan

Sementara itu, Kuching City yang baru melengkapkan 16 perlawanan setakat ini, menduduki tempat kelapan dengan 21 mata. - Bernama