KUANTAN - Kemenangan BN di PRK Semenyih membuktikan rakyat khususnya masyarakat Melayu sudah mula hilang kepercayaan terhadap kerajaan PH.
Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, keputusan PRK Semenyih menandakan PH bukan sahaja kurang popular di kalangan komuniti Melayu di luar bandar tetapi juga mula terkesan di bandar.
Menurutnya, kerjasama antara BN dan Pas memperlihatkan PH bukanlah parti yang terlalu kuat tetapi mampu dicabar dengan strategi yang ampuh.
"Seperti dijangka, PRK Semenyih menjanjikan persaingan yang sengit. Sebagaimana yang ditelah juga, kerjasama BN dan Pas ada kelebihan untuk menang di PRK itu yang mempunyai majoriti Melayu sebanyak hampir 70%.
"Kerjasama dua parti ini sekali lagi memperlihatkan kemantapan dalam mempengaruhi undi Melayu di samping permuafakatan ini turut dibantu MCA dan MIC.
"PRK Semenyih juga membuktikan bukan PH atau BN dan Pas yang merajai politik tanah air lewat ini, tetapi rakyat marhaen yang semakin bijak dan pragmatik dalam membuang undi," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, meskipun terdapat beberapa usaha pembaharuan yang baik, khasnya reformasi institusi, tetapi isu sebenar seperti kos sara hidup masih gagal ditangani dengan berkesan.
"Meskipun kurang adil kepada PH untuk menyelesaikan isu ini dalam masa yang singkat dengan sumber yang sangat terhad namun pada rakyat marhaen itu bukan persoalannya.
"Kebanyakan mereka sudah lama bersabar dengan pelbagai janji pemimpin sejak PRU 2008 lagi," katanya.