SHAH ALAM - Rakyat ketika ini memerlukan kerajaan yang memiliki kejelasan polisi lebih baik dalam usaha membawa negara mengharungi detik sukar dalam situasi pandemik Covid-19.
Pengerusi Persatuan Kajian Pembangunan dan Kemampanan Antarabangsa (Idris), Datuk Nizam Mahshar berkata, persoalan mengenai sasaran 100 hari atau Keluarga Malaysia bukan perkara utama buat rakyat Malaysia ketika ini.
"Bagi saya 100 hari itu sebenarnya tidak relevan kerana pemainnya adalah hampir sama. Tetapi apa yang lebih besar dan apa yang rakyat mahu faham adalah tentang 'policy clarity' kejelasan polisi.
"Dia tidak boleh lagi ada orang kata yang ‘flip flop’ yang bertukar-tukar dan sebagainya dan rakyat perlu difahamkan.
"Contoh yang paling mudah adalah dengan keadaan kes Covid-19 yang masih tinggi dan rakyat masih risau tetapi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diberikan,” katanya ketika Wacana Sinar Harian edisi ke-287 bertajuk ‘Keluarga Malaysia dan Cabaran 100 Hari Kerajaan’ pada Selasa.
Turut menjadi panelis dalam wacana yang diacarakan oleh Edlynna Hanie Hamid ialah Pengarah Eksekutif Third World Network, Chee Yoke Ling, Penganalisis politik, Dr Noor Nirwandy Mat Nordin dan aktivis undang-undang, Aidil Khalid.
Nizam berkata, pemimpin negara juga perlu memiliki keberanian dan lebih telus untuk mempertahankan polisi yang telah dilaksanakan mereka.
Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat juga mahu melihat dalam masa terdekat arah polisi kerajaan untuk menangani beberapa isu utama antaranya seperti menyelamatkan perniagaan, penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan rakyat, pendidikan dan kesihatan.
Sementara itu, Yoke Ling berkata, perkara utama perlu dilakukan oleh kerajaan dalam tempoh terdekat adalah mengembalikan keyakinan rakyat yang sudah terhakis terhadap kerajaan.
"Keyakinan rakyat itu adalah yang penting sekarang untuk kita kerajaan kembalikan. Tetapi saya nak tekankan bahawa kita mesti ikut perlembagaan kerana kalau tidak ada ‘rule of law’ dan sebagainya, ia pasti sukar untuk mendapat keyakinan rakyat,” jelasnya.