KUALA LUMPUR - Isu keganasan rumah tangga di negara ini dilihat semakin kritikal dan penularan pandemik Covid-19 diibaratkan bagai mencurah minyak ke dalam api yang sudahpun membara.
Justeru, tidak menghairankan jika kes penceraian turut meningkat termasuk dalam kalangan pasangan Islam.
Memetik pendedahan beberapa peguam syarie, sebuah akhbar melaporkan saban minggu ada sahaja kes suami isteri mahu bercerai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Antara alasan penceraian yang difailkan di mahkamah ialah masalah kewangan yang akhirnya mencetuskan pergaduhan.
Menyedari betapa seriusnya masalah keganasan rumah tangga ini yang bukan sahaja membabitkan penderaan fizikal tetapi juga mental pasangan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), menggerakkan inisiatif menjadikan masjid sebagai pusat transit untuk mangsa keganasan domestik.
Mengulas tentang projek itu, Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, program tersebut yang dilancarkan pada Mei lepas, terbuka kepada lelaki dan wanita, termasuk bukan Islam, yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
"Program ini merupakan antara inisiatif di bawah Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024, bertujuan memperluas fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang menyediakan pelbagai kemudahan, meliputi keperluan psikososial dan kerohanian untuk semua lapisan masyarakat," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, buat permulaan dua masjid dipilih sebagai perintis iaitu Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Al-Ghufran Pinggiran Taman Tun Dr Ismail.
Menurut beliau, kemudahan itu hanya untuk mangsa yang langsung tidak mempunyai tempat hendak dituju dan memerlukan perlindungan pada kadar segera.
"Pihak masjid akan membantu mangsa untuk memberikan perlindungan sementara dengan syarat telah membuat laporan polis berkaitan keganasan rumah tangga dan laporan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) JKM jika perlu,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Ajib berkata, sepanjang berada di pusat transit itu, mangsa akan diberikan bimbingan kerohanian dan kaunseling oleh pegawai masjid dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bagi membantu mangsa membuat pertimbangan secara rasional selain memikirkan tindakan seterusnya.
Beliau berkata, selain menyediakan pusat transit, Jawi juga mengenal pasti 12 masjid lagi yang dijadikan pusat aduan dan khidmat kaunseling untuk mangsa, selain menjalankan aktiviti yang dapat meningkatkan kesedaran tentang jenayah keganasan rumah tangga dalam masyarakat.
Projek rintis
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Dr Zurina Abdul Hamid berkata, kolaborasi di antara JPW dan Jawi tersebut bersandarkan peningkatan kes keganasan rumah tangga sepanjang tempoh PKP seperti yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Berdasarkan statistik PDRM, sebanyak 3,263 kes dilaporkan pada 2019 dan meningkat kepada 5,260 pada 2020.
"Jika dirujuk kepada data kes keganasan rumah tangga 2021 pula, hingga Jun lepas, PDRM telah menerima 3,970 kes. Peningkatan kes ini boleh dilihat melalui statistik Talian Kasih yang dikeluarkan oleh KPWKM. Bagi tempoh Januari hingga Jun 2020, Talian Kasih menerima 1,436 panggilan berbanding 1,621 panggilan bagi tempoh yang sama pada 2021.
"Rentetan peningkatan kes keganasan rumah tangga sepanjang Covid-19, JPW berpendapat pihak-pihak yang berkenaan perlu bekerjasama memainkan peranan dalam menjayakan kempen serta kaedah tertentu untuk menangani isu ini,” katanya kepada Bernama.
Menurut beliau, mangsa yang mendapatkan perlindungan di pusat transit tersebut akan ditempatkan di bilik khas yang disediakan di masjid berkenaan serta diberikan perlindungan sementara selama tiga hari yang turut disifatkan sebagai 'tempoh bertenang'.
Sepanjang tempoh itu, makan pakai mereka akan disediakan oleh pusat transit, katanya, menambah setakat ini program berkenaan telah menerima satu kes.
Menurutnya, menerusi kolaborasi berkenaan, jaringan bantuan juga diperluas, iaitu selain Talian Kasih 15999 yang disediakan oleh KPWKM, individu yang memerlukan juga boleh menghubungi Jawi melalui talian pertolongan MyCareCov19.
Ujar beliau, kerjasama di antara kementerian dan agensi amatlah penting supaya perkhidmatan pertolongan yang disediakan dapat disebar luas dan bantuan dapat disampaikan kepada individu yang memerlukan.
Alternatif turunkan kes keganasan
Zurina berkata, projek itu hanya bertujuan menyediakan perlindungan sementara pada kadar segera kepada mangsa keganasan rumah tangga bagi mengelakkan timbul masalah lain yang lebih buruk.
"Menerusi projek ini, kami berharap lebih ramai individu yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dapat memberanikan diri untuk tampil dan meninggalkan tempat yang membahayakan serta melukakan diri sendiri. Pihak kami amat berharap agar kes keganasan rumah tangga dapat dikurangkan secepat yang mungkin,” katanya.
Beliau berkata, JPW juga berharap semua ahli masyarakat dapat bersama-sama memainkan peranan membantu golongan berkenaan.
"Kehadiran kita sebagai pendengar yang berempati, memberi respons dan sokongan yang betul dapat mengurangkan tekanan yang dilalui," jelasnya yang turut berpesan kepada mereka yang menghadapi tekanan agar mendapatkan sokongan moral, sama ada meluahkan tekanan kepada mereka yang dipercayai, termasuk bertemu doktor atau pakar psikologi atau berjumpa dengan ahli Skuad Waja.
Katanya, paling tidak, hubungi Talian Kasih.
"Sekiranya anda ada niat untuk melakukan perbuatan yang membahayakan diri, dapatkan bantuan dengan segera. Kepada masyarakat di luar sana, terutamanya ahli keluarga dan rakan terdekat, bantulah mereka dengan memberi sokongan moral, menggalakkan mereka mendapatkan rawatan, menyertai forum atau ceramah berkaitan tekanan dan kesihatan mental serta berbincang secara terbuka sekiranya mereka menyatakan keinginan untuk membunuh diri," katanya lagi.
Zurina berkata, dalam usaha membantu mangsa keganasan rumah tangga, JPW merancang untuk memperluas program pusat transit itu ke seluruh negara dan ia telah menghubungi semua Majlis Agama Islam Negeri serta mengusulkan cadangan menjadikan masjid sebagai pusat transit.
"Selain itu, JPW juga dalam perancangan untuk memperluas kerjasama dengan mana-mana fasiliti agama lain dan badan bukan kerajaan bagi menyediakan tempat selamat yang mudah dicapai dalam komuniti," katanya.
Skuad Waja
Bagi memastikan program itu berjaya mencapai matlamatnya, Zurina berkata, pegawai di masjid yang terpilih sebagai pusat transit turut dilatih menggunakan modul latihan Skuad Waja.
"Skuad Waja merupakan sukarelawan yang diberi pendedahan berkaitan isu jenayah dan keganasan yang berlaku terhadap wanita khususnya, yang mana mereka juga berperanan memperkasa komuniti melalui psikososial dan aktiviti bimbingan,” katanya.
Menurut beliau, menerusi modul latihan Skuad Waja yang dibangunkan oleh JPW dengan kerjasama Institut Sosial Malaysia, ahli diberi latihan kemahiran meliputi empat aspek utama iaitu Empati (Empathy), Atensi atau perhatian (Attention), Respons (Response) dan Sokongan (Support), atau EARS.
Hingga 31 Julai lepas, seramai 1,571 sukarelawan Skuad Waja telah dilatih di seluruh negara dan sepanjang tempoh itu juga, skuad berkenaan berjaya membimbing 368 kes, katanya.
Zurina berkata kes-kes tersebut merangkumi keganasan rumah tangga, kewangan, gangguan seksual, jenayah siber, pemerdagangan orang, rogol dan cabul, serta keldai dadah. - Bernama