SHAH ALAM - UMNO menyerahkan kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam membuat keputusan atau kebajikan yang dirasakan sesuai dalam mengemudi pentadbiran termasuklah dalam melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berikutan parti itu telah pun membuat pendirian menyokong pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, malah pendirian itu juga boleh ditakwilkan bahawa Ismail Sabri yang mengetuai kerajaan hari ini mempunyai kuasa-kuasa Perlembagaan.
Justeru, beliau berkata, menjadi tanggungjawab Ismail Sabri untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan baik di samping tidak mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu.
"Saya menerima banyak pertanyaan, bahkan sempat membaca pelbagai komen bertanyakan mengenai apakah pendirian UMNO dalam pembentukan Jemaah Menteri dan pelantikan mantan Perdana Menteri (Muhyiddin) sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri.
"Jadi, UMNO konsisten dalam pendiriannya. Kita telah pun memberikan sokongan kepada Perdana Menteri (Ismail Sabri).
Mengulas lanjut, beliau yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan mempunyai peranan dan tanggungjawabnya dalam memenuhi keperluan rakyat, manakala parti pula akan terus berperanan sebagai kuasa pengimbang yang sentiasa bergerak senafas dengan rakyat.
"Selaku ketua parti, saya akan terus berusaha memperkasakan UMNO selaras dengan mandat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
"Fokus kita tidak pernah lari daripada untuk terus berusaha memantapkan perjalanan parti khususnya dalam persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Tambah Ahmad Zahid, dua mandat mandat besar akar umbi yang diamanahkan kepada beliau dan barisan pengemudi parti melalui ketetapan PAU dan MKT antaranya mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila pandemik Covid-19 mulai berakhir dan mencapai imuniti kelompok.
"Selain itu, kerusi tradisi UMNO dan kerusi yang dikhianati pada PRU14 lalu tidak boleh sesekali dikompromikan dan mesti diambil kembali untuk ditandingi,” ujar Ahmad Zahid.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, untuk tempoh enam hingga tujuh bulan akan datang sehinggalah pandemik mulai reda, kerajaan dan parti akan saling melengkapi, malah bergerak seiring dengan memfokuskan peranan masing-masing.
"Kerajaan fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat yang amat meruncing ketika ini. UMNO pula sebagai parti perlu menjadi suara pengimbang mewakili denyut nadi rakyat selain fokus memperkasa agenda pemantapan parti untuk menghadapi PRU-15 bagi memperoleh kembali kepercayaan dan mandat rakyat,” katanya.
"Bagi pihak parti, saya akan memastikan kita akan terus menjadi mata, telinga dan suara rakyat dalam menyentuh soal-soal kesejahteraan mereka dan kemakmuran negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook milik beliau pada Rabu.