BANDAR RAYA MEXICO - Sekurang-kurangnya 17 pesakit meninggal dunia selepas banjir melanda sebuah hospital di tengah Mexico sekali gus menyebabkan bekalan elektrik terputus dan menjejaskan bekalan oksigen, kata pihak berkuasa pada Selasa.
Hospital di bandar Tula, Hidalgo dilanda banjir selepas air sungai melimpah ekoran hujan lebat, kata kerajaan menerusi ciapan di Twitter.
Iklan
Iklan
Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador turut berasa sedih dengan kejadian tersebut yang disampaikan melalui ciapan di Twitter.
Hospital itu dilanda banjir dalam tempoh beberapa minit menyebabkan bekalan elektrik terputus sekali gus mengakibatkan rawatan perubatan yang menggunakan oksigen terjejas, kata Ketua Pengarah Institut Keselamatan Sosial Mexico, Zoe Robledo.
Baki 56 pesakit lagi dilaporkan telah dipindahkan ke hospital lain.
Menurut media Mexico, mangsa di hospital itu turut melibatkan pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan oksigen untuk bernafas.
Beberapa kakitangan perubatan turut membantu memindahkan pesakit. - Agensi