LUMUT - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menahan sebuah bot bersama 13 pendatang tanpa izin dipercayai warganegara Indonesia kerana menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan di kira-kira empat batu nautika selatan dari Teluk Ramunia, Johor, malam tadi.
Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) mengesan bot yang mencurigakan dalam keadaan berkelajuan tinggi dari Pulau Batam, Indonesia dan disyaki menuju ke perairan Teluk Ramunia itu, kira-kira 9.30 malam.
Iklan
Iklan
"Susulan itu, Area Control Centre (ACC) Johor kemudiannya telah menyalurkan maklumat pencerobohan berkenaan kepada Kapal Diraja (KD) Ganyang yang berada di perairan berkenaan sebelum aset TLDM bot tempur laju (FCB 1123), bot pemintas Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) Santi serta aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu Perkasa 30 dihantar segera ke lokasi bagi memintas bot tersebut.
"Menyedari kehadiran bot-bot TLDM dan APMM di lokasi, bot pendatang tanpa izin itu bertindak cuba meloloskan diri namun hasil kecekapan dan tindak balas pantas kesemua aset terlibat telah berjaya mengagalkan cubaan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Menurut Markas Pemerintahan Armada Barat, kesemua pendatang tanpa izin lelaki berumur lingkungan 20 hingga 40 an itu dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang untuk diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia di Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang bagi ujian saringan Covid-19 dan siasatan lanjut.
"Kerjasama dan tindakan bersepadu dalam penyaluran maklumat oleh agensi terlibat dapat memastikan setiap cubaan pencerobohan berjaya digagalkan sama ada di laut dan darat.
"Angkatan Tentera Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara malah TLDM bersama agensi penguat kuasa maritim yang lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada sebilang masa,” menurut kenyataan itu. - Bernama