Penduduk Kelantan gembira terima vaksin 'walk in'

Iklan
Nurul Asyikin (kiri) dan adiknya, Nurul Amylinda begitu teruja mendapatkan suntikan vaksin dos pertama secara terus di PPV Dewan MDPM, Pasir Mas pada Rabu selepas menunggu hampir tiga bulan.

PASIR MAS - Pelaksanaan program suntikan vaksin secara terus atau 'walk-in' yang bermula di seluruh Kelantan pada Ahad lalu cukup menggembirakan penduduk negeri ini dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa jajahan di negeri ini mendapati penduduk setempat tidak melepaskan peluang mendapatkan suntikan vaksin secara terus tersebut termasuk warga asing.

Iklan
Iklan

Di Pasir Mas, dua beradik dari Kampung Slow Machang di sini tiba seawal jam 8 pagi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) untuk mendapatkan vaksin secara terus.

Nurul Asyikin Nurudin, 29, dan adiknya, Nurul Amylinda, 22, berkata, mereka sudah mendaftar melalui MySejahtera sejak tiga bulan lalu, namun nama mereka masih belum dipanggil untuk menerima suntikan itu.

Iklan

"Sehinggalah pada Selasa, kami mendapat tahu kerajaan menyediakan kemudahan ('walk in') ini.

"Tanpa berfikir panjang kami terus hadir pada hari ini (Rabu) untuk mendapatkan suntikan vaksin dos pertama jenis Pfizer," katanya ketika di temui pemberita di PPV Dewan MDPM di sini pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, kesedaran untuk mendapatkan vaksin sudah lama ada dalam dirinya, namun belum diberikan peluang untuk menerima suntikan vaksin berkenaan.

Katanya, suntikan vaksin penting sebagai satu ikhtiar untuk mencegah penularan jangkitan Covid-19 selain menjadi keperluan utama dalam kehidupan seharian lebih-lebih lagi apabila mereka berdua merupakan peniaga dalam talian dan perlu bergerak untuk mencari bahan jualan.

Siti Anas (duduk kiri) dan suami, Nawi (kanan) bersyukur menerima vaksin secara 'walk in' di PPV Dewan MDPM, Pasir Mas pada Rabu.

Sementara itu, warga emas, Siti Anas Dollah, 69, berkata, pada awalnya dia dan suami, Nawi Ismail, 72, menangguhkan seketika hasrat itu kerana masalah kesihatan.

"Tetapi apabila melihat suasana sekarang yang semakin membimbangkan, kami berdua mengambil keputusan untuk mengambil vaksin secepat mungkin.

"Nasib baik ada vaksin secara 'walk in', tidak sampai 10 minit kami sudah menerima dos pertama vaksin, terima kasih kepada semua pihak kerana memudahkan urusan," katanya.

Vaksin secara terus dibuka di seluruh jajahan di negeri ini antaranya ialah di Dewan MDPM dan Dewan Samad Ghul (Pasir Mas), Dewan Majlis Daerah Pasir Puteh (Pasir Puteh), Felda Chiku 5 dan Dewan

Serbaguna Kesedar, KPTM (Gua Musang), Dewan Majlis Daerah Bachok dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK Bachok).

Selain itu, Dewan IKBN, Dewan Felda Kemahang 1 (Tanah Merah) Dewan Kompleks Perpaduan, Dewan Profesional UiTM (Machang) Majlis Daerah Jeli (Jeli) Dewan Majlis Perpaduan Tumpat (Tumpat).

Dewan Sri Tunjong JPN, Dewan Istiadat Istana Balai Besar, Masjid Assalam Pengakalan Chepa, Dewan Majlis Daerah Ketereh, Masjid Sultan Ismail Petra Kubang Kerian, (Kota Bharu), Dewan Sri Guchil,Dewan Manik Urai, Dewan Dabong, Klinik Kesihatan Bandar Kuala Krai, Klinik Kesihatan Pahi, Klinik Kesihatan Keroh (Kuala Krai).