Pas kesal difitnah Exco Kedah

Iklan
Nasron

ALOR SETAR - Pemuda Pas Kedah kesal kerana parti itu difitnah oleh Exco Agama Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh apabila menularkan gambar didakwa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang menandatangani cek RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Naib Ketuanya, Nasron Othman berkata, tulisan Dr Ismail yang juga Pengerusi Amanah Kedah bertarikh 1 Mac pada laman Facebook miliknya, dipetik berkata, ‘Walaupun masih duk nafi dan tak boleh terima hakikat dan kebenaran. Ini gambar majlis tandatangan cek itu”.

Iklan
Iklan

Menurutnya, gambar yang dimuat naik pada status FB itu sengaja ditularkan dengan niat menimbulkan persepsi buruk.

"Jika begini sikap pimpinan dari parti yang kononnya memperkenalkan Islam Rahmatan lil Alamin, apa yang dapat umat Islam harapkan bagi sebuah parti pragmatis agama yang kononnya alternatif kepada Pas. Adakah begini taraf seorang Exco Agama?,” soalnya.

Iklan

Nasron berkata, pihaknya memandang serius insiden ini kerana umum sudah mengetahui, bahawa gambar tersebut adalah ketika Abdul Hadi minum pagi di sebuah hotel penginapan di Bangkok bersama peguam, Jalaluddin Sarawoot, yang juga mantan Presiden World Muslim Youth Thailand.

"Malah perbincangan kedua pihak berkisar kepada isu umat Islam Selatan Thailand selain isu kebajikan serta hak asasi pelarian Rohingya pada tahun 2017,” katanya.

Iklan

Menurutnya, sebelum ini beberapa pemimpin dari Amanah juga ghairah memuat naik gambar tanpa usul periksa, lantas memberi komentar berunsur fitnah.

"Kami anggap mereka tidak pernah insaf dengan perlakuan sebelum ini, tabiat memfitnah tanpa usul periksa tidak dipedulikan. Terlalu banyak mereka cipta fitnah satu demi satu kerana tunduk kepada kehendak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP,” katanya.

Nasron berkata, perbuatan itu hanya memecahbelahkan masyarakat khususnya rakyat Kedah.

"Sebagai Exco, beliau harus profesional dan bawa imej yang baik. Exco dilantik bukan untuk berkhidmat kepada parti, sebaliknya kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang politik,” katanya.